
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) akan menganjurkan acara kebudayaan antarabangsa bertajuk International Friendship Cities Night selama tiga malam berturut-turut, dari 25 hingga 27 Julai ini.
Acara bermula pada 7.30 malam hingga 10.00 malam di Teater MBKS, menjanjikan pengalaman penuh warna-warni dan kepelbagaian budaya.
Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng berkata, acara istimewa ini merupakan simbolik kepada ikatan persahabatan antarabangsa antara Kuching dan bandar-bandar sahabat dari China dan Jepun, sambil memupuk pertukaran budaya yang bermakna.
Tahun ini, MBKS dengan bangga menerima delegasi dari Tai’an (Wilayah Shandong), Zhenjiang (Wilayah Jiangsu), Zhengzhou (Wilayah Henan), Quanzhou (Wilayah Fujian) kesemuanya dari China serta Asuke dari Bandar Toyota, Jepun.
“Kita amat berbesar hati menerima kehadiran mereka yang sanggup merentasi ribuan batu untuk menyampaikan persembahan budaya yang mencerminkan warisan, seni dan semangat rakyat mereka,” katanya.
Sorotan persembahan antarabangsa termasuklah dari Tai’an, China yang menampilkan nyanyian solo wanita Ode to the Coral (Shan Hu), solo guzheng Lofty Mountains and Flowing Streams (Gao Shan Liu Shui), persembahan qigong kecergasan, tarian pisau tunggal, gabungan muzik tradisional dan Tai Chi Chuan, serta persembahan seni bela diri bertajuk Crouching Tiger, Hidden Dragon.
Sementara itu, dari Zhenjiang, China, penonton dihidangkan dengan persembahan seperti tarian gaya opera Beijing Beijing Melodies, serta tarian The Unity of Land, The Little Point, LotusDrum Melody, dan pelbagai lagi persembahan menarik.
Dari Quanzhou dan Zhengzhou, China, penonton disajikan dengan pertunjukan boneka tali (Marionette Show) yang unik dan menghiburkan, serta persembahan memukau Shaolin Kung Fu oleh artis seni bela diri dari Shaolin Temple.
Selain itu, dari Asuke, Jepun, turut dipersembahkan gendang tradisional Taiko Jepun yang penuh semangat dan bertenaga, memukau penonton dengan irama dinamik dan persembahan bertenaga tinggi.
“Persembahan ini bukan sekadar hiburan, ia adalah jambatan budaya yang mempereratkan pemahaman dan hormat antara masyarakat kita,” ujarnya
“Saya mengajak seluruh warga Kuching, keluarga, pelajar, pencinta seni untuk hadir dan merasai pengalaman luar biasa ini,” katanya.
Tambah beliau, ini adalah peluang jarang bagi penduduk tempatan menyaksikan persembahan kelas dunia secara langsung tanpa perlu ke luar negara dan yang paling menarik, kemasukan adalah percuma.
Sama ada anda pencinta budaya, ibu bapa yang ingin memperkenalkan dunia kepada anak-anak, atau hanya ingin menikmati malam yang penuh magis International Friendship Cities Night menjanjikan kenangan yang tidak akan dilupakan.
Oleh Norman B.