
BINTULU: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan Syarikat Shin Yang sebagai contoh pelabur bertanggungjawab apabila terus menyumbang semula kepada pembangunan negeri ini melalui pelaburan berulang di Sarawak.
Menurut beliau, langkah syarikat itu melabur semula hasil keuntungan mereka di Bintulu membuktikan komitmen jangka panjang terhadap kemajuan negeri dan harus menjadi contoh kepada syarikat lain.
“Terdapat syarikat yang meraih keuntungan di Sarawak tetapi melabur di tempat lain.
“Namun, Shin Yang berbeza kerana mereka memperoleh keuntungan dan melabur semula di Sarawak termasuk di Bintulu,” katanya ketika merasmikan Pembukaan Hotel Imperial Bintulu di sini, hari ini.
Abang Johari turut menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi Eksekutif Kumpulan Shin Yang, Tan Sri Ling Chiong Ho dan pasukan pengurusan Shin Yang atas sumbangan tersebut.
Katanya, pelaburan sektor swasta seumpama itu sangat penting dalam merangsang pertumbuhan ekonomi khususnya di bandar strategik seperti Bintulu yang sedang berkembang di bawah Wilayah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).
“Bintulu bukan lagi sekadar bandar industri, ia kini menjadi destinasi pelaburan, pelancongan dan perniagaan.
“Kemudahan seperti Imperial Hotel akan menyokong pertumbuhan ini,” jelasnya.
Beliau turut memuji kemudahan bertaraf antarabangsa ditawarkan oleh Imperial Hotel Bintulu yang dilihat setanding hotel di bandar besar lain seperti Singapura.
“Apabila saya melangkah masuk ke hotel ini, saya rasa seolah-olah berada di hotel bertaraf antarabangsa.
“Ini menunjukkan tahap kemudahan di Bintulu kini sangat membanggakan,” ujarnya.
Hotel tersebut dibangunkan oleh Pantiasa Sdn Bhd, anak syarikat Shin Yang, sebagai sebahagian daripada pembangunan bersepadu bersama Boulevard Shopping Mall Bintulu dan TGV Cinemas Bintulu.
Hotel bertaraf antarabangsa ini menawarkan 207 bilik dan 179 suite yang serba moden, dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk dewan serbaguna, bilik mesyuarat, restoran, kolam renang, pusat kecergasan, sauna, serta The View Sky Lounge yang menghadap indahnya Laut China Selatan.
Kadar promosi bermula serendah RM260 semalam, termasuk sarapan.
Dengan sambungan terus ke pusat beli-belah dan pawagam, Imperial Hotel Bintulu kini muncul sebagai destinasi gaya hidup dan pelancongan serba lengkap di tengah-tengah Sarawak.
Oleh Carolyne Utih