
MIRI: Dasar pendidikan tinggi percuma yang mula dilaksanakan Sarawak pada tahun hadapan hanya untuk universiti milik kerajaan negeri sahaja.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan dasar itu tidak akan diperluaskan di universiti bukan milik Sarawak kerana ia dibiayai oleh kerajaan pusat.
“Kalau kita perluaskan ke universiti lain, ia dibiayai kerajaan pusat. Jadi kita tidak mahu campur aduk dengan kerajaan pusat.
“Mana boleh kita bagi percuma dengan kerajaan pusat. Sepatutnya kerajaan pusat yang bagi percuma dengan kita. Jadi ini rasionalnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog bersama rakyat sempena sambutan Hari Sarawak 2025 di sini hari ini yang dihadiri pelajar-pelajar daripada 16 sekolah menengah, 21 pertubuhan belia dan 11 Institusi Pendidikan Tinggi Awam.
Sesi berjudul ‘Generasi Muda Sarawak: Pemangkin Kemajuan & Kemakmuran’ itu dikendalikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala selaku moderator.
Jelas Datuk Patinggi Abang Johari, dasar itu akan hanya menumpukan kepada universiti milik Kerajaan Sarawak sahaja iaitu Universiti Curtin, Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Kolej Universiti i-CATS, Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) dan Universiti Teknologi Sarawak.
Tambahnya lagi, dasar tersebut membolehkan pelajar Sarawak memilih kursus yang diminati tanpa melalui tapisan Unit Pusat Universiti (UPU).
“Keduanya, siapa yang melanjutkan pelajaran, tidak tertakluk dengan UPU, anda bebas pilih kursus.
“Biarlah kita tumpu kepada universiti kepunyaan Sarawak. Lihat negara Nordic seperti Norway termasuk Jerman. Jadi harapan kita sekarang, anak kita punyai ilmu terkini untuk masa depan,” tambahnya lagi.
Hadir sama Timbalan-timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, barisan Menteri dan Timbalan Menteri, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, ketua-ketua jabatan dan dif-dif kenamaan lain. -UKAS