SERIAN: Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) menubuhkan tujuh pasukan tinjauan untuk mempercepatkan pengukuran tanah di kawasan ladangnya.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi SALCRA, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, operasi tinjauan dan pengukuran tanah itu adalah bagi tujuan mempercepatkan pengeluaran surat hak milik tanah di semua wilayah SALCRA.
Douglas Uggah berkata, SALCRA baru-baru ini telah membentuk tujuh pasukan tinjauan sendiri untuk tujuan tersebut serta dapat mempercepatkan penyelesaian masalah berkenaan.
“Sementara itu, Jabatan Tanah dan Survei akan membantu melatih juruukur yang terlibat bermula Oktober ini.
“Kerajaan negeri memberikan peruntukan sejumlah RM5 juta untuk operasi tersebut di bawah Rancangan Malaysia Ke-11,” katanya.
Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata demikian pada majlis penyampaian Surat Hak Milik Tanah kepada 506 pemilik tanah untuk kawasan pembangunan wilayah Serian di Dewan Serbaguna Kedup di sini, semalam.
Uggah menambah SALCRA akan menawar lebih banyak dana di bawah rancangan seterusnya untuk tujuan tersebut.
“Dengan pendekatan baru ini, pihak kita yakin dapat mengeluarkan lebih banyak surat hak milik tanah pada tahun-tahun akan datang.
“Sebelum dan selama ini, Jabatan Tanah dan Survei yang menjalankan tugas penyukatan dan pengukuran tersebut,” ujarnya.
Jelasnya, setakat ini jabatan tersebut telah membantu mengukur sejumlah 20,059 lot daripada 26,923 lot.
“Kita memiliki keseluruhan 47,958 hektar dengan 37,580 hektar telah disukat untuk pengeluaran hak milik tanah.
“Manakala setakat ini kita telah mengeluarkan surat hak milik kepada 12,988 pemilik tanah seluas 31,495 hektar, sementara 16,463 hektar lagi belum diberi hak milik,” katanya lagi.
Tambahnya, SALCRA juga berjanji untuk meninjau semua bidang pembangunan program baharu itu.
“Sehubungan itu, SALCRA harus mengeluarkan hak milik tanah dalam masa tiga tahun daripada pembangunannya.
“Ini akan menjadi KPI (Petunjuk Prestasi Utama) untuk SALCRA di bawah Pengurus Besarnya, Joseph Blandoi,” ujarnya.
Oleh Zarina Abdullah