KUCHING: Sarawak kekal menggunakan istilah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi pengurusan kampung di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberikan kebenaran dalam menggunakan istilah itu dan meneruskan bayaran elaun pengerusi JKKK sepenuhnya.
“JKKK sekarang memainkan peranan yang besar yang dahulunya dilakukan oleh Pejabat Daerah seperti pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
“Ketua Menteri turut mengumumkan JKKK boleh memutuskan kerja RTP di bawah peruntukan RM200,000 dilakukan melalui gotong-royong ataupun memerlukan kontraktor, mereka yang akan memilih,” jelas Uggah kepada pemberita di sini semalam.
Beliau berkata, kini JKKK juga berperanan menjadi mata pihak berkuasa.
“Jika sesuatu yang berlaku adalah luar dari kebiasaan, mereka akan tahu dan memaklumkan kepada pihak berkuasa seperti polis dan Jabatan Kesihatan.
“Mereka tidak melakukan sebarang tangkapan tetapi ditanggungjawabkan untuk membuat laporan,” kata Uggah dan menambah, JKKK adalah satu sistem yang ditubuhkan dan pelantikan adalah dilakukan oleh kerajaan negeri.
“Dahulunya, semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH), mereka ingin menukar nama, namun kenapa harus mereka menukar nama JKKK sedangkan ia dikenali oleh setiap orang dan JKKK melakukan tugas dengan baik,” kata Uggah.
Uggah berkata, bagi pemilihan ketua kaum pula, terdapat proses yang tersendiri dan unik.
“Pada akhir proses, tapisan akan melalui pejabat daerah, pegawai residen dan akan ada jawatankuasa untuk mencadangkannya kepada Setiausaha Kerajaan Negeri,” kata Uggah.
Oleh Alexandra Lorna