
DEBAK: Sambutan Hari Sarawak yang diraikan pada 22 Julai setiap tahun terus menjadi lambang semangat patriotik dan kecintaan rakyat terhadap negeri ini sebagai salah satu wilayah penting yang membentuk Persekutuan Malaysia.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohamad Razi Sitam, sambutan ini bukan sahaja memperingati kemasukan Sarawak ke dalam Persekutuan Malaysia, tetapi juga mengiktiraf jasa pemimpin terdahulu yang berjuang untuk kestabilan dan kemajuan negeri.
“Sarawak yang kita nikmati hari ini adalah hasil daripada perpaduan dan kerjasama semua kaum. Perpaduan inilah asas yang membolehkan Sarawak berkembang pesat sebagai sebuah kuasa ekonomi baharu di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata kejayaan Sarawak hari ini tidak dapat dipisahkan daripada kepimpinan dinamik Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang memacu pembangunan merangkumi teknologi digital, ekonomi hijau, pendidikan dan infrastruktur.
Razi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, menggesa rakyat khususnya di Sarawak agar terus menghayati semangat Hari Sarawak sebagai dorongan memperkukuh perpaduan dan kesetiaan kepada negeri dan negara.
“Dengan semangat perpaduan dan kepimpinan yang berwawasan, kita yakin Sarawak akan terus menjadi contoh sebuah negeri maju, makmur dan sejahtera dalam Malaysia yang berdaulat,” tambahnya.
Dalam pada itu, Sambutan Hari Sarawak diraikan secara rasmi setiap 22 Julai bermula selepas pengisytiharan oleh bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Pehin Sri Tan Sri Adenan Satem pada 2016.
Beliau adalah pemimpin pertama yang mengiktiraf 22 Julai 1963 sebagai tarikh bersejarah Sarawak memperoleh pemerintahan sendiri sebelum menyertai Malaysia.
Langkah Adenan Satem menjadikan Hari Sarawak cuti umum negeri bertujuan menghargai perjuangan pemimpin terdahulu serta memupuk semangat patriotik dan perpaduan rakyat.
Sambutan itu kini menjadi simbol kebanggaan seluruh rakyat Sarawak, tanpa mengira kaum dan agama.
Oleh Adi Safarman