
KUCHING: Program Nuansa Seni Edisi Ke-6 terus mengukuhkan peranan sebagai platform unggul memelihara dan memperkasakan seni serta warisan budaya Melayu Sarawak dalam era moden dan berdaya saing.
Bertemakan ‘Pertembungan Dua Zaman, Satu Jiwa’, festival ini menyatukan penggiat seni, artisan, pereka, dan komuniti budaya untuk memastikan identiti warisan Melayu Sarawak terus relevan dan berkembang secara progresif.
Majlis yang berlangsung di The Waterfront Hotel Kuching itu diserikan dengan kehadiran Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, semalam.
Pengarah Projek, Dr. Sharifah Suzana Wan Shukran atau Dr. Anna Sue, menjelaskan bahawa Nuansa Seni yang mula diperkenalkan pada 2021 ketika pandemik COVID-19 kini telah berkembang menjadi ekosistem budaya merangkumi seni persembahan, kraf warisan, reka fesyen, dan naratif kontemporari.
‘Nuansa’ membawa maksud perbezaan halus. Walaupun kita hidup dalam kemodenan, seni dan budaya kita harus kekal hidup. Jika ada perbezaan, biarlah ia seperti ‘Nuansa’ sedikit tetapi bermakna,” katanya.
Dr. Anna Sue turut menekankan pentingnya peranan generasi muda dalam meneruskan kesinambungan warisan, sambil menghargai jasa penggiat seni terdahulu yang telah mencorakkan landskap budaya Melayu Sarawak.
Festival ini juga menampilkan pertunjukan fesyen eksklusif yang memukau, menggabungkan unsur tradisional dan moden menerusi koleksi busana hasil karya pereka dan artisan terkemuka seperti D’Keringkan x Maskota, Kolaborasi Jurulatih Sulaman Keringkam, Saanah Sukit Ajang (Songket Rejang) dan banyak lagi.
Sebagai penghargaan, majlis turut meraikan para karyawan seni, artisan dan adiguru yang komited memperkasa seni warisan Melayu Sarawak, memastikan keindahan budaya ini terus hidup dalam jiwa generasi kini dan akan datang.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Perhubungan Persekutuan-Negeri) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta tetamu kehormat yang lain. -UKAS