
MIRI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak telah mengadakan Mesyuarat Pelaksanaan Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) MyLesen kelas B2 bagi kawasan Parlimen Miri di sini, semalam.
Menurut kenyataan JPJ Sarawak, mesyuarat tersebut bertujuan menyelaras segala aspek pelaksanaan program bagi memastikan ia dijalankan dengan lancar, teratur dan memberikan impak maksimum kepada golongan sasaran.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili, turut menjadi platform utama untuk menyatukan semua pihak berkepentingan dalam membincangkan pelan tindakan yang berkesan.
“Program MyLesen merupakan inisiatif kerajaan yang bertujuan membantu golongan B40 dan individu yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan lesen memandu kelas B2 secara lebih mudah dan mampu milik.
“Pelaksanaan program itu selaras dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan keselamatan jalan raya, mengurangkan jumlah penunggang motosikal tanpa lesen yang sah serta memperkasa golongan berpendapatan rendah agar lebih berdikari dan berdaya saing,” katanya.
Hadir sama Ketua JPJ Miri, Fifi Suhesty Asmuni serta Ketua Bahagian Pelesenan Pemandu JPJ Sarawak Yusniman Mohamad.
Oleh Adum Liu