
SARATOK: Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) Hospital Saratok menerima sumbangan 18 unit kerusi baharu untuk kegunaan jururawat dan petugas kesihatan hasil inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Setiausaha Kehormat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kalaka, Gapor Ahmad yang mewakili Mohamad Duri dalam satu majlis ringkas di KKIA Hospital Saratok, hari ini.
Menurut Mohamad Duri, sumbangan itu disalurkan setelah pihaknya menerima maklum balas mengenai keadaan kerusi sedia ada yang sudah usang serta tidak selamat untuk digunakan.
“Keadaan kerusi yang usang bukan sahaja menyukarkan tugas harian jururawat malah boleh mendatangkan risiko keselamatan.
“Justeru, kita mengambil langkah proaktif dengan menggantikan 18 unit kerusi baharu bagi memastikan keselesaan petugas di KKIA Saratok,” katanya.
Menurut beliau, sumbangan tersebut adalah hasil kerjasama antara Pusat Khidmat ADUN Kalaka dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang komited membantu keperluan masyarakat setempat.
Tambahnya, kemudahan yang lebih baik diharap dapat mewujudkan suasana kerja yang kondusif dan menyenangkan buat petugas kesihatan menjalankan tanggungjawab harian mereka.
“Saya menggalakkan lebih banyak NGO serta pihak berkepentingan tampil membantu, khususnya dalam usaha meningkatkan mutu kemudahan dan perkhidmatan untuk masyarakat,” katanya.
Oleh Adi Safarman