
MIRI: Sambutan Hari Sarawak terus menjadi lambang perpaduan, keharmonian dan kemajuan negeri ini, sekali gus mengukuhkan semangat cintakan tanah air dalam kalangan rakyat.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, sambutan tersebut bukan sekadar mengenang detik bersejarah penubuhan Sarawak, tetapi juga menzahirkan kekuatan jati diri rakyat negeri ini yang sentiasa bersatu padu dalam mendepani cabaran dan membina masa depan yang lebih cemerlang.
“Namun, lebih penting daripada sambutan adalah semangat yang kita hayati bersama.
“Program zumba ini membuktikan bahawa Sambutan Hari Sarawak bukan hanya tertumpu pada acara rasmi dan protokol sahaja, tetapi juga pada aktiviti akar umbi yang menggalakkan gaya hidup sihat sekali gus menjadi simbol perpaduan rakyat pelbagai kaum dan lapisan usia,” katanya
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Zumba sempena sambutan Hari Sarawak yang diadakan di Stadium Tertutup Miri, hari ini.
Kim Shin berkata, tema sambutan tahun ini, ‘Sarawak Maju Makmur’ membawa maksud yang besar dan mendalam.
Tambah beliau, ia bukan sahaja menekankan pencapaian pembangunan fizikal dan ekonomi, tetapi juga menekankan kesejahteraan rakyat dari segi kesihatan, perpaduan serta kualiti hidup.
“Ia juga bermula dengan rakyatnya yang sihat, ceria dan berdaya tahan. Anak Sarawak perlu sihat untuk terus menyumbang.
“Anak Sarawak perlu kuat untuk terus berjuang. Dan anak Sarawak perlu bersatu untuk terus melangkah jauh,” ujarnya.
Beliau berharap agar program sebegini akan diteruskan secara berkala yang melibatkan lebih ramai lapisan masyarakat tidak mengira usia dan diangkat sebagai satu budaya gaya hidup baharu di Sarawak.
“Oleh itu, saya menggesa agar para peserta hari ini menjadikan momentum pagi ini sebagai titik mula kepada gaya hidup yang lebih aktif.
“Kita mahu rakyat Sarawak bukan sahaja maju dari segi pendidikan dan ekonomi, tetapi juga makmur dari segi jasmani dan rohani,” katanya.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Rosey Yunus.
Oleh Liong Chai Ling