


TINJAUAN…..Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii menjalankan tinjauan ke dua projek jalan yang telah siap.
SARlKEI: Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan ADUN Repok, menegaskan bahawa pembangunan kawasan luar bandar kekal menjadi fokus utama dalam usaha beliau memperkasakan komuniti setempat.
Semalam, beliau turut turun padang meninjau dua projek jalan simen yang telah siap dilaksanakan, sebagai sebahagian usaha memperbaiki infrastruktur dan meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat.
Lokasi yang dilawati beliau adalah Jalan Seng Kung, Sungai Merudu yang telah siap dibina dengan ukuran 250 meter panjang dan tiga meter lebar.
Tiong Sii turut melawat satu lagi laluan kampung di kawasan Jakar sepanjang 140 meter dan tiga meter lebar.
Katanya, projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan infrastruktur asas di kawasan luar bandar.
“Lawatan ini bertujuan memastikan projek-projek yang dilaksanakan berjalan mengikut jadual serta menepati spesifikasi yang ditetapkan.
“Ia penting untuk menilai dan memantau kemajuan projek-projek infrastruktur asas bagi memastikan ia disiapkan dengan baik, sekali gus meningkatkan kemudahan perhubungan dan taraf hidup penduduk,” katanya ketika ditemui media.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas kepercayaan dan sokongan daripada rakyat Sarikei yang telah memberi mandat kepadanya untuk terus berkhidmat.
“Saya membesar di Sarikei, inilah kampung halaman saya.
“Anda semua ibarat ahli keluarga saya yang sentiasa memberikan dorongan dan sokongan, membolehkan saya berkhidmat dengan sepenuh hati,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas komitmen berterusan dalam memajukan Sarikei melalui pelbagai peruntukan dan inisiatif pembangunan, terutamanya menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
“Segala pembangunan ini mencerminkan keprihatinan dan komitmen Premier Sarawak terhadap Sarikei dan rakyat,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan bahawa akan terus berusaha membawa lebih banyak pembangunan ke Sarikei dan berharap agar kerjasama erat antara pemimpin, agensi kerajaan serta masyarakat setempat dapat diteruskan demi menjadikan Sarikei lebih maju dan sejahtera.
“Saya amat menghargai sokongan padu rakyat sepanjang lebih sembilan tahun ini.
“Dengan sokongan berterusan, kita akan terus membawa perubahan positif untuk generasi akan datang,” ujarnya.
Oleh Earl Anek