
KUCHING: “Setiap gambar menyimpan cerita. Setiap rakaman membawa rasa”, itulah falsafah yang dipegang teguh oleh Rockson, 37, pengasas Rock Empayar, seorang anak tempatan yang yang menjadikan dunia fotografi dan videografi bukan sekadar kerjaya malah sebagai satu bentuk dakwah visual dan luahan jiwa.
Minat Rockson terhadap dunia fotografi dan videografi bermula secara tidak rasmi selepas mendirikan rumah tangga, apabila beliau mula merakam detik-detik manis bersama isteri menggunakan kamera Sony A6000 iaitu hadiah istimewa daripada isterinya sendiri.

Dari lensa kecil itu, lahirlah kecintaan besar terhadap visual bukan sekadar imej tetapi emosi, naratif dan memori yang penuh makna.
“Saya belajar semuanya sendiri. Dari YouTube, forum komuniti dan banyak melakukan eksperimen. Apa yang bermula sebagai hobi, berubah menjadi kerjaya apabila rakan-rakan mula meminta saya merakam untuk mereka,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Utusan Sarawak semalam.
Terinspirasi oleh gaya visual yang cenderung kepada unsur jalanan, “grunge”, dan nuansa analog, beliau mengangkat sentuhan nostalgia dan kejujuran sebagai identiti karya. Dari situlah lahirnya identiti Rock Empayar simbol kepada kekuatan, keaslian dan kesetiaan kepada nilai-nilai seni yang jujur.

“Bagi saya, jurugambar ialah pencerita. Setiap klik ialah tanggungjawab. Kita merakam emosi bukan hanya wajah,” ujarnya lagi.
Antara detik yang paling meninggalkan kesan dalam kerjaya beliau ialah ketika merakam potret seorang lelaki tua yang duduk sendirian di tepi jalan, menggenggam gambar arwah isterinya di lokasi yang sama mereka pernah duduk bersama kali terakhir sebelum wanita itu meninggal dunia.
“Itu gambar yang saya simpan sampai hari ini. Bukan untuk tatapan awam, tapi sebagai peringatan kenapa saya mula ambil kamera,” ujarnya penuh emosi.

Detik itu, katanya terlalu jujur untuk diulang dan menjadi peringatan mengapa beliau memilih untuk terus berada di belakang lensa.
Mengulas tentang cabaran dalam kerjaya, beliau menyifatkan fotografi konsert sebagai antara yang paling mencabar baik dari sudut teknikal mahupun emosi.
“Cahaya yang berubah, subjek yang sentiasa bergerak, serta tekanan untuk menangkap detik dalam suasana hiruk-pikuk dan tiada peluang kedua menjadikan ia medan latihan terbaik untuk seorang jurufoto profesional.
“Bila saya rakam konsert, saya tak kejar gambar artis semata-mata. Saya kejar ‘vibe’ dengan gegaran bass, sorakan, dan denyut keramaian. Itu yang hidupkan gambar.
“Kadang-kadang detik hanya ada dua saat. Kalau terlepas, kita tak boleh ulang,” katanya.

Tambahnya lagi, ramai yang tidak menyedari bahawa di sebalik satu gambar siap, ada berpuluh jam kerja termasuk proses pemahaman klien, penyuntingan dan pemilihan warna serta momen yang paling tepat.
“Jurugambar bawa harapan orang. Tekanan tersebut besar tapi apabila klien kata gambar itu buat mereka menangis, itu cukup,” katanya.
“Perubahan citarasa klien juga menjadi perhatian. Jika dahulu mereka hanya menekankan aspek teknikal dan susun atur tradisional, hari ini permintaan lebih menjurus kepada gaya visual yang beremosi, sinematik dan bersifat penceritaan.
“Klien sekarang datang dengan moodboard, Pinterest, malah ada yang mahukan identiti visual yang mewakili siapa mereka. Ia satu cabaran yang saya sambut dengan hati terbuka,” katanya.
Dalam era kecerdasan buatan (AI) dan teknologi penyuntingan automatik, beliau percaya sentuhan manusia masih penting dan tidak mampu digantikan.
“AI boleh hasilkan gambar, tapi AI tak boleh rasa. Kamera saya bukan sekadar alat, tapi ia mata kedua membaca jiwa detik itu,” jelasnya.
Mengakhiri temu bual, beliau berkongsi impian yang masih tersimpan dengan menghasilkan dokumentari visual tentang wajah-wajah biasa yang menyimpan cerita luar biasa, serta momen-momen jujur yang berlaku tanpa dirancang.
“Saya belum capai destinasi tetapi setiap langkah, setiap klik shutter sedang bawa saya ke sana. Selagi ada cahaya, selagi ada jiwa, saya akan terus merakam,” katanya penuh harapan.
“Jurugambar bukan hanya ambil gambar. Kita adalah saksi senyap kepada dunia menyimpan kisah yang kadang-kadang hanya boleh didengar dalam diam,” tambahnya.
Oleh Shikin Mahmud