
SIMUNJAN: Penganjuran Pesta Ujud Kelka edisi ke-5 terus mencuri tumpuan masyarakat setempat apabila pelbagai acara berunsurkan tradisi, budaya dan sukan rakyat diteruskan dengan penuh meriah di Tapak Pesta Ujud, Kampung Kelka hari ini.
Kawasan pesta sudah mula dipenuhi sejak awal pagi, pengunjung yang hadir dari pelbagai kawasan termasuk dari luar Simunjan bagi menyaksikan keunikan dan semangat kekitaan yang dipamerkan menerusi pelbagai aktiviti yang dianjurkan.
Antara acara yang menjadi tumpuan ialah panjat tiang licin dan pukul bantal yang ternyata menjadi kegemaran ramai.
Turut menyerikan pesta hari ini ialah kehadiran isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Napsiah Abang Kaderi yang hadir bersama masyarakat setempat.
Beliau turut menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi acara-acara yang telah dipertandingkan pada sebelah pagi, antaranya pertandingan meraut penyapu lidi dan memancing yang disertai dengan penuh semangat oleh penduduk pelbagai peringkat umur.
Tidak terhenti di situ, acara diteruskan pada sebelah petang dengan barisan aktiviti yang lebih mencabar dan menghiburkan termasuk pertandingan melontar kelapa muda, pertandingan dart, menyumpit, tarik tali serta acara paling dinantikan iaitu Iron Men dan Iron Women.

Kemeriahan pesta dijangka berterusan sehingga hari berikutnya dengan lebih banyak acara-acara akhir bakal dipertandingkan, termasuk penentuan juara bagi beberapa kategori utama yang pasti akan mengundang perhatian ramai.
Pesta Ujud Kelka ini bermula secara rasmi sejak 12 Julai lalu berjaya menarik penglibatan aktif penduduk sekitar serta sokongan pelbagai agensi dan pihak penganjur yang menjadikan pesta ini sebagai salah satu platform pengukuhan perpaduan komuniti di peringkat akar umbi.
Pesta tahunan yang dianjurkan Angkatan Anak-Anak Kelka bukan sahaja menjadi medan mencungkil bakat dan memupuk semangat berpasukan, malah turut menyemarakkan semula warisan dan nilai-nilai tradisional yang menjadi identiti masyarakat tempatan.
Majlis Penangguhan Rasmi bagi Pesta Ujud Kelka akan diadakan pada 21 Julai ini, yang dijadualkan akan disempurnakan ADUN Simunjan, Awla Dris yang bertemakan pakaian etnik Sarawak, manakala penutupan keseluruhan acara akan berlangsung pada 22 Julai.
-UKAS