
BETONG: Perasmian Jambatan Batang Saribas 1 bernilai RM375.5 juta mula dibina sejak 2019 dan tertangguh akibat pandemik COVID-19 disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini sekali gus melancarkan Agensi Pembangunan Baharu Betong (BDDA) sebagai pemacu pembangunan holistik wilayah Betong.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, projek berkenaan bukan sahaja menghubungkan komuniti setempat tetapi turut menamatkan kebergantungan penduduk terhadap perahu sejak lebih 60 tahun lalu.
“Dahulu penduduk hanya bergantung kepada perahu. Hari ini kita saksikan impian enam dekad menjadi kenyataan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Jambatan Batang Saribas 1 dan pelancaran BDDA yang disempurnakan Premier Sarawak di sini, hari ini.
Uggah menegaskan perasmian jambatan tersebut membuktikan iltizam kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam menyediakan infrastruktur asas bagi merancakkan pembangunan luar bandar serta membuka lebih banyak peluang ekonomi.

Katanya, GPS komited dengan dasar membina kemudahan untuk rakyat, di mana kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM5.9 bilion bagi pembinaan 16 jambatan utama di seluruh negeri.
Pelancaran BDDA juga katanya dilihat sebagai langkah strategik kerajaan negeri untuk merancang pembangunan wilayah Betong secara menyeluruh.
Menurut Uggah, sebanyak 48 projek pembangunan bernilai RM2.92 bilion sedang dan akan dilaksanakan di bawah BDDA, termasuk peruntukan RM200 juta untuk setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen.
“BDDA bukan sahaja fokus kepada infrastruktur, tetapi turut menggerakkan inisiatif ekonomi bagi meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar, seiring aspirasi Sarawak menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030,” ujarnya lagi sambil menegaskan semua projek itu dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri tanpa dana Persekutuan.
Beliau turut memberi jaminan Projek Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling bukan sekadar janji pilihan raya malah berjalan lancar dan dijangka siap tidak lama lagi.
Malah, Sarawak katanya kini mencatat pencapaian cemerlang apabila tiga tahun berturut-turut diiktiraf Bank Dunia sebagai negeri berpendapatan tinggi.
Oleh Adi Safarman