
LIMBANG: Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum anak Niot telah berkunjung menziarahi keluarga mangsa serangan buaya di Kampung Pendam, di sini.
Dalam pertemuan bersama media, beliau memaklumkan bahawa sebanyak lima kes serangan buaya yang mengakibatkan kematian telah direkodkan di Daerah Limbang dari 2015 hingga 2025.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap kejadian berulang dan menggesa orang ramai agar lebih berwaspada, khususnya ketika menjalankan aktiviti berhampiran sungai.
“Saya menasihatkan penduduk supaya tidak terlalu menghampiri tebing sungai, terutama ketika air pasang, serta mengelakkan aktiviti seperti memancing secara bersendirian,” katanya.
Tambah beliau, semua aktiviti memancing di kawasan sungai berdekatan Kampung Pendam dilarang sepanjang operasi mencari dan memantau yang dilaksanakan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari 8 hingga 17 Julai 2025.

Keluarga mangsa menyatakan rasa terharu dan berterima kasih atas keprihatinan pihak polis, termasuk kehadiran pegawai kanan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang.
Terdahulu, Karim Osman, 58, seorang penduduk Kampung Pendam, dilaporkan menjadi mangsa serangan buaya ketika memancing pada 3 Julai lalu.
Mayat beliau ditemui dalam keadaan sempurna pada 2.28 petang keesokan harinya.
Oleh Adeng Edrus