
LUNDU: Kerajaan Sarawak terus menunjukkan komitmen tinggi dalam usaha menambah baik sistem bekalan air luar bandar menerusi pelaksanaan projek infrastruktur kritikal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.1 Opar.
Komitmen ini diterjemahkan melalui Majlis Serah Tapak Projek Paip Graviti yang telah diadakan pagi ini di Dewan Masyarakat Kampung Kendaie, disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri N.1 Opar, Billy Sujang.
Projek ini dilaksanakan di bawah Program Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) dengan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak sebagai agensi pelaksana bertujuan untuk memperluaskan liputan serta menjamin bekalan air yang mampan dan berterusan kepada penduduk di kawasan DUN berkenaan, selaras dengan peningkatan permintaan semasa.
Antara projek yang sedang dan akan dilaksanakan merangkumi kerja menaik taraf Sistem Paip Graviti di Kampung Pasir Tengah dan Kampung Sedaing, serta pembinaan baharu sistem paip graviti di Kampung Kendaie, Bukit Batu, Pasir Hilir, Ranto Panjang dan Kampung Pasir Ulu.
Skop pelaksanaan projek ini merangkumi pembinaan dan penaiktarafan empangan mini, pemasangan tangki simpanan air mentah dan tangki aras tinggi, pemasangan saluran paip baharu serta pelbagai kerja berkaitan lain.
Menurut JBALB Sarawak, semua projek ini kini berada dalam peringkat pelaksanaan dan dijangka siap mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Usaha ini dijangka mampu mencapai liputan penuh bekalan air di seluruh kawasan DUN N.1 Opar menjelang 2028.
Dengan kerjasama padu antara JBALB Bahagian Kuching, JBALB Daerah Lundu serta sokongan GKCDA, kerajaan negeri Sarawak kekal komited dalam memastikan rakyat luar bandar terus menikmati kemudahan infrastruktur asas yang berkualiti dan berdaya tahan.
Turut hadir memeriahkan majlis, Pegawai Daerah Lundu Awang Yusup Awang Mostapha dan Jurutera Air Bahagian Kuching Ir. Ts. Awang Muhamad Ayahtullah Awang Najeri.
Oleh Norman B.