
BETONG: Penantian selama bertahun-tahun penduduk di kawasan pesisir Sarawak berakhir hari ini apabila Jambatan Batang Saribas 1 dibuka secara rasmi, menandakan permulaan lembaran baharu yang diharapkan mampu meningkatkan kemudahan dan kualiti hidup masyarakat setempat.
Tiada lagi penantian panjang di tebing sungai dan tiada lagi kebergantungan kepada feri yang mengambil masa sehingga 30 minit untuk menyeberang.
Kini, hanya beberapa minit diperlukan untuk merentas Sungai Batang Saribas berkat infrastruktur mega yang menjadi simbol kemajuan luar bandar Sarawak.
Perasmian jambatan yang dinantikan ini disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Kos pembinaan mencecah RM375.5 juta, jambatan sepanjang 1.55 kilometer (km) ini berdiri megah dengan 16 bentang, menyambungkan laluan sepanjang 6.7 km yang turut melibatkan penaiktarafan dan pembinaan jalan baharu di kedua-dua sisi Beladin dan Pusa.
Selain jambatan utama, projek ini turut melibatkan penaiktarafan jalan sedia ada sejauh 0.887 km di Beladin dan 1.62 km di Pusa serta pembinaan jalan baharu masing-masing sejauh 1.85 km di Beladin dan 0.79 kilometer di Pusa.
Bagi masyarakat yang selama ini bergantung kepada feri sebagai satu-satunya pengangkutan merentasi sungai, jambatan ini ibarat nafas baharu.

Projek ini juga menandakan keupayaan dan kesungguhan kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan luar bandar lantas menjadikan kawasan pesisir tidak lagi terpinggir.
Turut hadir menyaksikan perasmian ini, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Menteri Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohamad Razi Sitam, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu.
-UKAS