
SIMANGGANG: Hari Permuafakatan yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lingga semalam menjadi medan penting mempererat hubungan antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat ke arah pembangunan murid secara menyeluruh.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, Hari Permuafakatan bukan sahaja berperanan sebagai platform untuk membincangkan perkembangan akademik dan sahsiah anak-anak, malah membuka ruang perbincangan terbuka antara guru dan ibu bapa mengenai hala tuju pendidikan murid.
“Melalui Hari Permuafakatan ini, ibu bapa dapat memahami perkembangan akademik anak-anak mereka, mendalami aspek sahsiah serta mendapatkan pencerahan tentang pencapaian kokurikulum. Ia juga memberi peluang kepada pihak sekolah mendapatkan maklum balas terus daripada ibu bapa bagi menangani sebarang isu berkaitan murid secara bersama,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.
Majlis turut diserikan dengan perasmian Bengkel Kecemerlangan SPM 2025, Gelanggang Bola Keranjang, serta penyerahan sumbangan Smart TV kepada pihak sekolah sebagai usaha meningkatkan kualiti pendidikan di SMK Lingga.
Menurut Mohamad Shafizan, inisiatif ini diyakini dapat melonjakkan pencapaian akademik murid khususnya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), di samping mengukuhkan aspek sahsiah serta kemahiran insaniah mereka.
“Saya difahamkan, pada tahun ini, SMK Lingga berjaya mencatat peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS) kepada 5.95. Ini adalah hasil kerjasama erat semua pihak pentadbir sekolah, guru, ibu bapa dan murid sendiri,” katanya.
Beliau turut menzahirkan komitmen untuk terus membantu pihak sekolah dalam menyediakan persekitaran kondusif bagi pembelajaran, termasuk sokongan kepada program persediaan SPM dan inisiatif pemerkasaan digital dalam pendidikan.
Mengulas mengenai Dasar Pendidikan Digital yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), beliau berkata, ia merupakan langkah proaktif kerajaan bagi memastikan murid di seluruh negara, termasuk luar bandar, tidak ketinggalan dalam arus perkembangan teknologi masa kini.
“Dasar ini menggariskan objektif melahirkan generasi fasih digital, memperkasakan pendidik dan pemimpin sekolah untuk mengintegrasikan teknologi dalam pembelajaran. Sebagai sokongan, saya telah menyumbangkan Smart TV kepada semua kelas di SMK Lingga untuk dimanfaatkan secara maksimum oleh guru dan murid,” jelas beliau.
Tambahnya, penggunaan teknologi bukan hanya meningkatkan daya saing murid dalam era digital tetapi juga membantu guru menghasilkan sumber pendidikan yang lebih interaktif dan berkualiti.
“Saya percaya, dengan kerjasama erat semua pihak dan sokongan padu ibu bapa, SMK Lingga mampu mencatat kejayaan lebih gemilang pada masa akan datang serta setanding dengan sekolah-sekolah terbaik di Sarawak dan Malaysia,” katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan murid-murid agar menjaga kemudahan yang diberikan supaya dapat digunakan dalam jangka masa panjang demi manfaat generasi akan datang.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, Wan Fadillah Wan Ahmad; Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman, Abdul Rahman Muhiyuddin serta Pengetua SMK Lingga, Mesra Beji.
Oleh Adi Safarman