
KUALA LUMPUR: Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka terus mendapat sokongan dan meningkat minggu depan dengan julat harga lebih kukuh AS$3,320 hingga AS$3,380 bagi setiap auns troy, kecuali berlaku perubahan mendadak dalam sentimen pasaran bon.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata pembelian berterusan oleh bank-bank pusat selain faktor ketidaktentuan geopolitik dan kebimbangan terhadap tekanan hutang sistemik juga mempengaruhi sentimen pasaran terhadap logam berharga itu.
“Ini memberi ruang kepada ketahanan terhadap risiko luar jangka dari Jepun serta pengukuhan dolar AS yang didorong oleh kecerdasan buatan (AI). Namun, sekiranya berlaku lonjakan harga melebihi AS$3,380 akibat tekanan dalam pasaran bon, keadaan itu boleh mendorong kepada peningkatan paras yang lebih ketara,” katanya kepada Bernama.
Bagi asas mingguan, kontrak baharu Ogos 2025 menokok kepada AS$3,378.30 setiap auns troy daripada AS$3,362.70 manakala kontrak September 2025 naik kepada AS$3,384.20 setiap auns troy berbanding AS$3,377.60.
Kontrak Oktober 2025, Disember 2025 dan Februari 2026 masing-masing turut meningkat kepada AS$3,413.40 setiap auns troy daripada AS$3,397.50 pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 199 lot berbanding 139 lot pada minggu lepas manakala kepentingan terbuka turun kepada 68 kontrak daripada 72 kontrak.
Harga emas fizikal berada pada AS$3,318.50 setiap auns troy mengikut penetapan oleh London Bullion Market Association (LBMA) pada 17 Julai 2025.– Bernama