
KABONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir menyampaikan sumbangan geran berjumlah RM8,000 kepada wakil Kelab Tarik Tali Trass Merah Kabong dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Pusat Khidmat ADUN Kabong, hari ini.
Sumbangan tersebut diberikan sebagai inisiatif untuk membantu meringankan beban kewangan kelab yang bakal mewakili Kabong dalam Pertandingan Tarik Tali sempena Pesta Sematan yang akan diadakan dari 25 hingga 27 Julai ini.
Dalam ucapannya, Chee Kadir menegaskan bahawa sokongan kepada sukan tradisional perlu diteruskan agar warisan budaya masyarakat sentiasa terpelihara dan terus berkembang.
“Saya berharap sumbangan ini dapat memberikan motivasi tambahan kepada ahli Kelab Trass Merah Kabong untuk membuat persiapan sebaik mungkin menjelang pertandingan nanti.
“Semoga pasukan ini mampu mengharumkan nama Kabong di pentas Pesta Sematan,” katanya.
Chee Kadir turut menzahirkan penghargaan atas usaha berterusan dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh ahli-ahli kelab dalam memartabatkan sukan tradisional seperti tarik tali, sekali gus menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan belia.
Majlis ringkas ini juga turut menjadi platform mempereratkan hubungan antara pemimpin masyarakat dengan komuniti sukan di Kabong, selari dengan usaha kerajaan negeri menyokong pembangunan sukan di peringkat akar umbi.
Oleh Adi Safarman