
BINTULU: Premis makanan di Jalan Tun Ahmad Zaidi diarah tutup selama 14 hari bermula semalam selepas najis tikus ditemui di kawasan penyediaan makanan.
Penutupan itu dilakukan oleh Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Seksyen Kesihatan Awam dan Environment (PHE), Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan sanitasi dijalankan.

Menurut kenyataan BDA, tindakan tegas itu diambil bagi memastikan tahap kebersihan premis makanan sentiasa berada dalam keadaan memuaskan dan tidak membahayakan pengguna.
“Pemeriksaan berkala akan diteruskan secara berterusan ke atas semua premis makanan di sekitar Bintulu.
“Ini adalah langkah tegas BDA untuk memastikan setiap pengendali makanan mematuhi peraturan kesihatan awam, menjaga kebersihan dan menjamin keselamatan pengguna,” katanya.
BDA turut menggesa semua pengusaha makanan agar lebih bertanggungjawab dalam aspek keselamatan makanan dan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.
Oleh Carolyne Utih