
SIBU: Sebanyak 30 unit kamera litar tertutup (CCTV) yang telah dibaik pulih dipasang di Wad Psikiatri, Hospital Sibu sebagai langkah memperkukuh tahap keselamatan dan meningkatkan mutu penjagaan pesakit di fasiliti itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng berkata pemasangan sistem pemantauan tersebut bukan hanya melibatkan aspek teknikal, tetapi turut mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan kesejahteraan pesakit, kakitangan dan pelawat hospital.
“Wad psikiatri merupakan tempat yang menuntut belas ihsan, kesabaran dan kewaspadaan. Ia juga terdedah kepada cabaran yang tidak dijangka.
“Melalui pemantauan masa nyata, sistem CCTV ini dapat membantu pasukan perubatan menyediakan persekitaran yang lebih selamat, mencegah insiden yang tidak diingini, mempercepatkan tindakan semasa kecemasan serta menyediakan data berguna bagi penambahbaikan berterusan dalam penjagaan pesakit,” katanya ketika merasmikan sistem itu di sini, hari ini.
Menurut Chieng, projek berkenaan merupakan hasil kerjasama antara pihak pengurusan hospital, Lembaga Pelawat Hospital dan komuniti setempat yang prihatin terhadap kesejahteraan golongan rentan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga kerja Hospital Sibu, khususnya para doktor dan jururawat yang sentiasa komited dalam memberikan rawatan terbaik.
“Tugas anda mungkin tidak selalu kelihatan di mata umum, namun impaknya sangat besar dalam kehidupan ramai pesakit dan keluarga mereka,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap sumbangan yang diberikan akan menjadi pemangkin kepada lebih ramai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat korporat untuk menyokong usaha meningkatkan sistem penjagaan kesihatan di negara ini.
“Bersama-sama, marilah kita membina sebuah masyarakat yang lebih sihat, lebih selamat dan lebih penyayang,” tambah beliau.
Oleh Tarani Lanting