
KOTA SAMARAHAN: Buat julung kalinya, Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) menganjurkan Expo Mini Pertanian 2025, yang berlangsung meriah di Bangunan PPNS dengan penyertaan lebih 45 pempamer dan pelbagai agensi berkaitan pertanian dan keusahawanan.
Majlis perasmian disempurnakan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom yang menzahirkan penghargaan terhadap inisiatif PPNS dalam memperkukuh ekosistem agromakanan negeri.
“Sektor pertanian adalah nadi pembangunan luar bandar. Expo seperti ini membuka ruang kepada peladang dan usahawan tani luar bandar untuk beradaptasi dengan teknologi, meningkatkan produktiviti dan menjamin keselamatan makanan negeri,” katanya dalam ucapan perasmian hari ini.
Bertemakan “Perkasa Usahawan Tani dan Amalkan Pertanian Moden”, expo ini menjadi wadah utama untuk mempertemukan pelbagai pihak dalam rantaian agromakanan termasuk peladang, usahawan muda, agensi kerajaan, institusi kewangan dan pemain industri.

Pengerusi PPNS, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail menegaskan komitmen PPNS untuk terus memperkasakan peladang bukan sahaja dalam bidang pertanian tetapi juga dalam aspek pembangunan sosioekonomi melalui bimbingan, pemasaran dan jaringan perniagaan.
Selama tiga hari, pelbagai aktiviti telah dijalankan antaranya Program E-Tani oleh Jabatan Pertanian Sarawak Bahagian Samarahan, serta khidmat dan bantuan kewangan daripada RHB Bank, Affin Bank, AgroBank dan Co-opbank Pertama (CBP).
Turut diadakan ialah Seminar Ilmu Pertanian oleh Sarawak Fertilizer, DJI Agriculture, Fastgrow, D’ Mummys Recipe, Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (Sarawak Skills) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia.
Aktiviti lain termasuk demonstrasi langsung seperti penanaman cendawan (Balau Agrotech) dan teknologi dron pertanian (DJI), perkongsian kisah kejayaan wanita dan belia dalam pertanian, serta Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) dengan kerjasama Peladang eShop sebagai rakan strategik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Sarawak.
Dalam sidang medianya, Stephen Rundi turut menekankan pentingnya petani berubah seiring zaman dengan mengadaptasi teknologi pintar dan pendekatan pertanian moden demi meningkatkan kecekapan dan hasil tanaman.
Expo ini bukan sekadar pameran, ia merupakan langkah strategik ke arah pembaharuan landskap pertanian Sarawak ke arah lebih moden, mampan dan berdaya saing.
Oleh Norman B