Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • MBKS terima tajaan RM45,000 daripada Magnum untuk Festival Makanan 2025
  • Selatan
  • WILAYAH

MBKS terima tajaan RM45,000 daripada Magnum untuk Festival Makanan 2025

Utusan Sarawak 1 day ago
NAIB Presiden II merangkap Ketua Wilayah Malaysia Timur ENE (East Malaysia) Sdn Bhd, Encik Liew Kee Chuan (ketiga kiri) bersama Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng (tengah) semasa majlis penyerahan tajaan rasmi bagi Festival Makanan Kuching 2025 di ibu pejabat MBKS, Kuching.

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) terus menerima sokongan padu daripada rakan korporat apabila syarikat Magnum menyerahkan sumbangan penajaan berjumlah RM45,000 bagi menjayakan Festival Makanan Kuching 2025.

Festival yang dianggap sebagai acara tahunan yang ikonik oleh warga kota itu akan berlangsung dari 25 Julai hingga 17 Ogos ini di Dewan Masyarakat MBKS.

Majlis penyerahan tersebut disempurnakan oleh Naib Presiden II merangkap Ketua Wilayah Malaysia Timur ENE (East Malaysia) Sdn Bhd, Liew Kee Chuan.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng menyifatkan sumbangan itu sebagai bukti kepercayaan yang berterusan terhadap nilai dan semangat komuniti yang dibawa oleh festival tahunan ini.

“Sumbangan ini bukan sekadar bantuan kewangan, ia adalah lambang kepercayaan dan nilai bersama yang kami kongsi dengan Magnum, serta komitmen untuk terus membangunkan masyarakat Kuching melalui acara yang memupuk perpaduan dan semangat kekitaan,” ujarnya ketika berucap pada sidang media hari ini.

DATO Wee Hong Seng (tengah) ketika berucap di sidang media sempena majlis penyerahan tajaan rasmi Magnum hari ini.

Tahun ini, sebanyak 320 gerai makanan, tiga gerai minuman keras dan satu gerai minuman khas akan menyajikan pelbagai pilihan juadah tempatan dan antarabangsa.

Ia bukan sahaja memberi peluang ekonomi kepada para peniaga tempatan, malah menjadi medan pertemuan dan perpaduan masyarakat pelbagai kaum.

Antara segmen yang paling dinantikan ialah ‘Chinese Home Cook Delicacy Corner’ yang bakal menampilkan masakan tradisional dari pelbagai kumpulan dialek Cina seperti Hainan, Chawan, Teochew, Hokkien, Hing Ann, Foochow, Kwong Wai Siew dan Hakka.

Setiap kumpulan akan diberikan giliran selama tiga hari untuk memperkenalkan hidangan warisan keluarga yang kaya dengan nilai sejarah dan budaya.

“Kita tidak hanya menyajikan makanan, tetapi warisan dan cerita hidup yang diturunkan dari generasi ke generasi.

“Inilah cara kita memastikan generasi muda tidak melupakan akar budaya mereka, iaitu melalui rasa, bau dan pengalaman,” tambah Dato Wee.

Sementara itu, Pavilion Gastronomi pula menjadi ruang istimewa yang memperlihatkan hubungan antarabangsa Kuching sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO.

Bandar-bandar saudara seperti Zhenjiang dan Quanzhou dari China turut dijemput untuk mempersembahkan masakan dan budaya mereka, manakala ‘Bumiputera Corner’ memberi peluang kepada komuniti Melayu dan Dayak untuk mengetengahkan hidangan tradisional seperti ayam pansuh, lemang, kek lapis dan pelbagai manisan etnik lain.

Festival ini turut menawarkan persembahan hiburan, aktiviti kekeluargaan serta pelbagai peluang interaksi sosial yang menjadikan Kuching terus dikenali sebagai bandar yang mesra, bersatu dan dinamik.

Menutup ucapannya, Dato Wee mempelawa seluruh warga Kuching serta pengunjung dari dalam dan luar negeri untuk hadir memeriahkan Festival Makanan Kuching 2025.

“Saya mengajak semua untuk datang bersama keluarga dan rakan-rakan.

“Dengan menyokong festival ini, anda bukan sahaja menikmati makanan lazat tetapi juga menyokong peniaga kecil, memelihara budaya, dan menyemarakkan semangat komuniti Kuching,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada pihak Magnum dan ENE Sdn Bhd atas komitmen berterusan mereka.

Oleh Adele Rissa

Continue Reading

Previous: PPNS Expo Mini Pertanian 2025, pacu transformasi pertanian Sarawak ke arah modenisasi
Next: MPKS anjur Program Saringan Kesihatan dan Taklimat Pemakanan Sihat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.