
PETRA JAYA: Seramai 118 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan golongan asnaf menerima bantuan kewangan bagi menyokong pengajian mereka di peringkat lebih tinggi.
Bantuan tersebut adalah hasil kerjasama strategik antara Technology College Sarawak (TCS) dan Yayasan Taqwa, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), dalam usaha memperkasa akses kepada pendidikan tinggi di negeri ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapa’ee berkata, kerjasama antara institusi pendidikan dan badan kebajikan ini membuktikan bahawa apabila semua pihak bersatu, masyarakat dapat diangkat keluar daripada belenggu kemiskinan.

“Kita semua bertanggungjawab memastikan tiada anak-anak yang tercicir daripada pendidikan hanya kerana kekangan kewangan,” katanya pada majlis majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan Technology College Sarawak (TCS) –Yayasan Taqwa di Kampus TCS di sini, hari ini.
Beliau turut menekankan bahawa pendidikan adalah teras pembangunan negeri, dan pelaksanaan skim pendidikan tinggi percuma merupakan langkah berani dan progresif yang akan memberi manfaat besar kepada rakyat, khususnya pelajar kurang berkemampuan.
“Meskipun ada pihak yang mempersoalkan kelestarian dasar ini, saya ingin tegaskan bahawa kerajaan tidak akan berundur. Janji tetap janji. Walaupun ada kelewatan, bantuan tetap akan disalurkan kepada semua yang layak,” katanya.

Menerusi inisiatif tersebut, setiap pelajar menerima bantuan tunai RM1,000 bagi menampung keperluan asas pengajian termasuk pengangkutan, makanan harian dan bahan pembelajaran.
Mengimbas pengalamannya ketika memegang jawatan sebagai Pengerusi Universiti Teknologi Sarawak (UTS) pada 2021, beliau berkata hampir tiada pelajar B40 mampu menampung kos yuran yang mencecah RM70,000 hingga RM80,000.
Namun, selepas beliau mencabar pihak pengurusan UTS memberi potongan yuran 50 peratus, kemasukan pelajar B40 meningkat sehingga 40 peratus.
Kini, kerajaan Sarawak sedang melaksanakan sistem khas bagi membolehkan lepasan diploma menyambung pengajian secara percuma di empat institusi utama iaitu UTS, Brisbane 13, ITEC dan Swinburne, dengan pemindahan kredit antara semester sedang diselaraskan melalui bengkel khas bersama kolej tempatan.
“Jangan ragu untuk menyambung pelajaran. Kerajaan menyediakan bantuan poket sebanyak RM1,200 kepada semua pelajar yang layak, termasuk dari UCS. Setakat ini, sebanyak 42,000 permohonan bantuan khas BKK sedang dalam proses verifikasi teliti,” jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa pembayaran bantuan akan dilaksanakan pada Julai dan disalurkan terus ke akaun pelajar menerusi Sistem Perbendaharaan (SP) seperti yang telah diguna pakai di Semenanjung.
“Kita sedar ada yang mencuba nasib walaupun tidak layak. Tetapi kita tidak mahu pelajar sebenar tercicir. Proses ini mengambil masa kerana ini adalah pelaksanaan pertama. Untuk fasa seterusnya, verifikasi hanya akan dibuat untuk pelajar baharu,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap TCS yang ditubuhkan di bawah SOCC Holdings Sdn. Bhd., atas komitmen menyediakan kemudahan penginapan, makanan, pengangkutan dan yuran pendaftaran secara percuma kepada pelajar daripada keluarga B40.
Sementara itu, Yayasan Taqwa, sebagai entiti kebajikan di bawah MAIWP, terus memainkan peranan penting dalam menyampaikan bantuan zakat dan menganjurkan program pendidikan serta sosial berimpak tinggi di seluruh negara.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut berkongsi rancangan memperkenalkan program ‘Siswa Balik Sekolah’, iaitu inisiatif yang melibatkan pelajar universiti kembali ke sekolah semasa cuti semester bagi membantu pelajar sekolah rendah dalam subjek seperti Matematik dan Sains, yang bakal dijadikan sebahagian daripada keperluan Mata Pelajaran Umum (MPU).
“Pelajar universiti akan kembali ke sekolah lama mereka untuk memberi motivasi dan bimbingan. Ini bukan hanya cadangan, malah sedang dibincangkan bersama Jabayan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan universiti utama di Sarawak,” katanya.
Oleh Shikin Mahmud