
KUCHING: Projek MyKiosk yang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dengan pembiayaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membuka peluang kepada penjaja kecil, khususnya dalam kalangan golongan B40, untuk menjalankan perniagaan secara sah, tersusun dan lebih berdaya saing.
Sebanyak 30 kiosk disediakan menerusi inisiatif ini, meliputi 28 unit di kawasan parkir Pasar Lama Tabuan Jaya dan dua unit di Taman Sahabat.


SOKONGAN PENUH… Dato Wee Hong Seng memberi sokongan positif kepada para peniaga di MyKiosk Tabuan dengan melawat setiap kiosk.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng berkata penempatan tersebut bukan sahaja membantu mengurangkan bilangan penjaja tanpa lesen, malah menyediakan ruang yang lebih bersih, tersusun dan selamat bagi para peniaga meneruskan kelangsungan hidup mereka.
“Kita mahu membantu mereka berpindah ke lokasi yang sah supaya perniagaan yang dijalankan tidak lagi berisiko disita,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa lawatan ke tapak MyKiosk KPKT di Taman Datuk Bandar Song Swee Guan, hari ini.


PILIHAN BARANGAN… Antara barangan makanan yang dijual termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, minuman dan makanan bungkus.
Menurut beliau, setiap kiosk dibina dengan kos RM13,500 melalui tender terbuka berdasarkan spesifikasi ditetapkan.
Untuk meringankan beban, sewa tidak dikenakan dalam tempoh enam bulan pertama.
Setelah tempoh tersebut tamat, peniaga hanya perlu membayar RM140 bagi tempoh tiga bulan, bersamaan sekitar RM1.50 sehari.
“Kita pastikan kadar sewa sangat berpatutan supaya peniaga mampu bertahan dan berkembang,” ujarnya.
Bagi dua kiosk di Taman Sahabat, MBKS telah turun padang untuk mengenal pasti peniaga di sekitar kawasan tersebut dan menasihati mereka mengemukakan permohonan rasmi.
Proses temu duga akan dijalankan bagi memastikan penempatan dilakukan secara adil dan telus.
Wee menjelaskan tidak semua penjaja bersedia untuk berpindah pada peringkat awal, namun MBKS tetap komited dalam memberi kefahaman serta menyediakan peluang kepada mereka.
“Kita tidak memaksa, tetapi kita galakkan. Proses ini mengambil masa kerana kita mengutamakan pendekatan berhemah,” tambahnya.
Oleh Amanda L.