
DI zaman moden yang penuh dengan cabaran dan kerancuan nilai, institusi keluarga sering menjadi mangsa kepada gelombang perubahan yang tidak menentu.
Kemajuan teknologi, ledakan maklumat, tekanan ekonomi dan kelalaian terhadap agama menjadikan keluarga yang sepatutnya menjadi tempat berlindung, kadangkala menjadi tempat yang paling goyah.
Namun, dalam Islam konsep ‘keluarga sakinah’ hadir sebagai penyelesaian yang utuh. Ia bukan hanya sekadar keluarga bahagia di dunia, malah merupakan kunci kepada kesejahteraan hidup di akhirat.
Sakinah berasal daripada perkataan Arab yang membawa maksud ketenangan dan ketenteraman jiwa. Allah SWT berfirman dalam surah Ar-Rum ayat 21: “Dan di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ialah Dia menciptakan untukmu pasangan hidup daripada jenis mu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu kasih sayang dan rahmat.”
Ayat ini menggambarkan bahawa ketenangan itu lahir daripada hubungan yang dibina atas dasar kasih sayang (mawaddah) dan belas kasihan(rahmah). Keluarga bukan sekadar perkongsian hidup, tetapi satu ikatan rohani yang disatukan oleh Allah SWT dengan tujuan yang tinggi yakni menuju redha dan syurga-Nya.
Demikian itu, untuk mencapai ketenangan ini, islam telah menetapkan peranan yang jelas kepada suami dan isteri.
Suami bukan sekadar mencari nafkah, tetapi pemimpin keluarga yang bertanggungjawab membimbing isteri dan anak-anak menuju kebenaran.
Allah SWT menegaskan dalam surah A-Nisa’ ayat 34, bahawa lelaki adalah pemimpin kepada wanita, kerana mereka diberikan kelebihan dan tanggugjawab dalam menafkahi keluarga.
Sepertimana Rasulullah SAW menyebut: “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan dipertanggugjawabkan terhadap apa yang dipimpinnya.”
Ini bukan soal kekuasaan, tetapi tanggungjawab memimpin dengan kasih, menegur dengan hikmah dan melindungi dengan iman.
Isteri pula merupakan sumber ketenangan dalam rumah tangga. Rasulullah SAW menyatakan: “Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah.”
Seorang isteri yang menjaga solat akhlak, dan mendidik anak-anak dengan nilai Islam adalah harta yang tidak ternilai dalam kehidupan seorang lelaki. Kelembutan dan kesabaran wanita mampu menjadi pelita dalam kegelaapan dan penyembuh luka keluarga.
LANGKAH KEMBALI KE AKAR SAKINAH
Keluarga sakinah bukan mustahil untuk dibina, asalkan ia diasaskan atas keimanan dan dipandu oleh wahyu.
Langkah pertama ialah kembali menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup. Bersesuaian dengan firman Allah SWT di dalam surah at-Tahrim ayat 6, “Wahai orang-orang yang beriman! Perliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api neraka..” ayat ini menjadi peringatan keras bahawa tanggungjawab mendidik dan membimbing keluarga bukan pilihan, tetapi kewajipan yang akan dipersoal kelak.
Salah satu cara membina ikatan sakinah ialah dengan melazimi ibadah bersama dalam rumah seperti solat berjemaah, membaca al-Quran, berdoa dan berbicara mengenai agama.
Ibadah bukan sekadar hubungan individu dengan Allah, tetapi juga kaedah menguatkan hubungan antara ahli keluarga. Rasulullah SAW bersabda, “Semoga Allah merahmati seseorang yang bangun malam dan mengerjakan solat, lalu membangunkan isternya juga.”
Rumah yang dihiasi ibadah adalah rumah yang dinaungi malaikat dan dijauhi syaitan.
Doa juga merupakan senjata terkuat dalam membina keluarga sakinah. Allah SWT mengajarkan kita satu doa yang indah dalam surah al-Furqan ayat 74: “Ya Tuhan Kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan hidup dan keturunan sebagai penyejuk hati kami, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.” Doa bukan sekadar permintaan kepada Allah SWT, tetapi juga cerminan visi hidup seorang Muslim yang mengimpikan sebuah keluarga yang menjadi cahaya dan teladan, bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat.

Ketinggian ilmu Saidina Ali RA
SAIDINA Ali memiliki otak yang cerdas, lidah yang gemar bertanya, telinga yang sentiasa mendengar dan mata yang memiliki penglihatan tajam.
Beliau juga seorang yang berfikiran jauh dan mampu menyelesaikan masalah-masalah rumit yang datang padanya. Ketika zaman Rasulullah SAW, Saidina Ali tergolong di kalangan orang-orang yang menghafal Al-Quran.
Bukan itu sahaja, beliau juga mahir dengan ilmu tafsir dan takwil ayat-ayat Al-Quran. Oleh kerana beliau tinggal bersama-sama Rasulullah SAW sejak dari kecil, maka amat mudah bagi beliau untuk menghafal, mempelajari dan seterusnya menguasai ilmu-ilmu berkaitan Al-Quran.
Beliau berasa amat bersyukur kepada Allah atas kelebihan yang diberikan kepadanya. Saidina Ali pernah berkata, “Demi Allah, tidak diturunkan satu ayat pun kecuali aku mengetahui pada peristiwa apa, di mana dan mengenai siapa ayat itu diturunkan. Sesungguhnya Tuhanku telah memberikan padaku otak yang cerdas dan lisan yang pandai berkata-kata”.
Kata-kata yang lahir dari mulut Saidina Ali ini bukanlah satu bentuk kebanggaan diri tetapi satu bentuk kesyukuran kepada Allah.
Ali juga pernah berkata, “Tanyakanlah kepadaku tentang Kitabullah. Tidak ada satu ayat pun melainkan aku mengetahui tentang sebab apakah ayat itu diturunkan, waktu yang diturunkan sama ada pada waktu malam atau siang ianya diturunkan dan diturunkan kepada Rasulullah SAW di dataran rendah atau di pergunungan”.
Disebabkan kebijaksanaan yang dimiliki oleh Saidina Ali, maka Rasulullah SAW mengutuskannya ke Yaman untuk menjadi hakim.
Saidina Ali meriwayatkan bahawa, ketika Rasulullah SAW mahu menghantarkannya ke Yaman, beliau telah berkata kepada baginda “Wahai Rasulullah SAW, engkau mengutuskan aku ke Yaman, sedangkan aku masih muda. Engkau mengangkatku sebagai hakim padahal aku tidak mengerti hukum-hukum”.
Mendengar kegusaran Saidina Ali tersebut, maka baginda berdoa, “Ya Allah, berikanlah petunjuk ke dalam hatinya menepuk dada Saidina Ali lantas dan tetapkanlah lidahnya (tutur katanya)”. Saidina Ali berkata, “Demi Allah, sejak saat itu aku tidak pernah lagi ragu-ragu dalam memutuskan pertikaian antara dua pihak yang datang di hadapanku.”
Para sahabat juga memuji keilmuan Saidina Ali. Ramai di kalangan para sahabat termasuk para sahabat yang besar datang bertanyakan masalah-masalah kepada Saidina Ali.
Mereka mengambil pendapatnya dalam menyelesaikan pelbagai persoalan dan masalah. Saidina Umar pernah berkata, “Ali adalah yang paling baik dalam memutuskan perkara di antara kami”. Saidina Umar juga pernah berkata, “Aku berlindung kepada Allah dari masalah yang Abu Hasan (Saidina Ali) tidak menanganinya.”
Saidina Ali juga merupakan pakar rujuk bagi Saidina Umar dalam bidang perundangan. Jaafar bin Muhammad telah menceritakan bahawa Saidina Umar telah didatangi oleh seorang wanita yang telah terpikat dengan seorang pemuda Ansar.
Wanita itu amat gilakan pemuda tersebut. Namun, apabila pemuda itu tidak menghiraukan godaannya, maka dia membuat helah ke atasnya.
Dia mengambil sebiji telur dan dibuang bahagian kuningnya. Dia melumurkan telur (putih) itu ke atas pakaian dan di antara kedua belah pahanya. Kemudian dia datang kepada Saidina Umar sambil berteriak, “Orang ini telah merogolku, dia memberi malu kepada ahliku (keluargaku) dan (lihat) ini dia bukti perbuatannya”.
Oleh Hanzalah Azman