Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Eksklusif: Di sebalik asap Satay Kaban, daya tarikan pekan Siburan
  • TEMPATAN

Eksklusif: Di sebalik asap Satay Kaban, daya tarikan pekan Siburan

Utusan Sarawak 2 days ago
GERAI Satay Kaban yang diusahakan Alison Nuri di pekan Siburan menjadi tumpuan pelanggan setempat.

SIBURAN: Di sebalik kepulan asap arang yang menyelimuti ruang udara pekan kecil Siburan, seorang wanita berdiri tabah di hadapan gerai satay miliknya tekun membalik cucuk demi cucuk yang sudah diperap sejak awal pagi. 

Satay Kaban, nama yang kini dikenali ramai di kawasan ini, bukan sahaja menjual satay ayam, daging dan babi, tetapi turut membawa bersama kisah tentang semangat, ketekunan dan kelangsungan hidup.

Alison Nuri, 45, mula mengusahakan gerai ini pada Ogos 2022 secara sepenuh masa, menjadikannya sumber utama pendapatan. Setiap hari, beliau menyediakan sendiri bahan mentah, dari memerap, mencucuk ke lidi, sehinggalah membakar di atas bara. 

CUCUK satay dipanggang di atas bara arang untuk memastikan rasa berempah kekal pekat dan garing.

Bagi beliau, itu bukan sekadar rutin harian, tetapi satu komitmen terhadap kualiti dan rasa yang menjadi tarikan pelanggan tetapnya.

“Saya mulakan gerai ini selepas dapat inspirasi daripada seorang kawan. Satay ni nampak mudah, tapi cabaran dia lain. Terutamanya dari segi kos dan pelanggan yang pelbagai,” katanya ketika ditemui.

Menurut Alison, kos operasi hariannya boleh mencecah RM200 hingga RM300, termasuk daging segar, arang, sewa tapak dan bayaran pekerja.

“Dulu harga barang boleh kawal. Sekarang semuanya naik, tapi kita tak boleh sesuka hati naikkan harga satay sebab kita faham pelanggan pun terkesan,” jelasnya.

ALISON menyediakan tempahan satay pelanggan.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, Alison mengakui margin keuntungannya semakin kecil. Namun, beliau masih bertahan terutamanya kerana permintaan yang stabil sewaktu musim perayaan seperti Gawai, Krismas dan Tahun Baharu Cina, apabila jualan boleh mencecah sehingga 700 cucuk satay sehari.

“Kalau musim perayaan, pelanggan akan datang awal. Biasanya ayam, daging dan babi memang paling laris,” katanya sambil menyusun lidi-lidi satay yang siap dibakar.

Satay Kaban merupakan gerai bukan halal, tetapi Alison memastikan status tersebut sentiasa dimaklumkan dengan jelas. 

Beliau memasang tanda ‘Bukan Halal’ di hadapan gerai, dan akan memberitahu secara langsung jika terlihat pelanggan Muslim menghampiri.

“Kami tak mahu orang salah faham. Kalau ada pelanggan Muslim datang, saya akan maklumkan awal. Kita kena jujur,” ujarnya.

Pelanggan tetapnya terdiri daripada komuniti Cina dan Dayak, yang bukan sahaja sudah biasa dengan rasa sataynya, tetapi juga menghargai usaha beliau menjaga kualiti dan layanan mesra.

“Mereka tahu apa yang mereka nak. Ada yang memang akan tunggu kalau saya belum buka lagi,” katanya dengan senyum kecil.

Seperti peniaga makanan lain, Alison juga pernah berdepan gangguan bekalan. Hal ini dihadapi semasa penularan penyakit di ladang ternakan babi, yang pernah menyebabkan kekurangan stok selama beberapa minggu.

“Kadang tak dapat daging langsung. Bila dah tak cukup bahan, saya terpaksa kurangkan operasi. Nak pastikan pelanggan tetap pun tak kecewa,” katanya.

Dalam menghadapi tekanan harian, beliau turut melihat media sosial sebagai jalan keluar untuk memperluaskan pasaran dan menjangkau pelanggan di luar kawasan Siburan.

ALISON melayan pelanggan yang datang memilih dan membuat tempahan satay di gerainya.

“Sekarang zaman digital. Kalau kita boleh guna media sosial dengan betul, saya yakin boleh tarik lebih ramai pelanggan,” katanya yang sedang merancang pendekatan baharu dalam promosi dalam talian.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Alison kekal optimis. Bagi beliau, perniagaan ini bukan sekadar sumber pendapatan, tetapi sesuatu yang menghubungkannya dengan masyarakat.

“Saya buat semua ini demi hidup. Kadang letih, kadang risau pasal kos. Tapi bila ada pelanggan yang cari saya, tanya ‘hari ni buka tak kak?’, saya rasa dihargai,” katanya dengan nada rendah.

Satay Kaban bukan hanya tentang makanan jalanan, ia adalah cerita tentang seorang wanita yang memilih untuk tidak menyerah. Di sebalik setiap cucuk satay yang dibakar di atas bara, terselit kisah pengorbanan dan kejujuran. 

Dalam pekan kecil seperti Siburan, Satay Kaban menjadi bukti bahawa kekuatan tidak selalu datang daripada besar, tetapi daripada mereka yang sanggup terus berdiri walaupun dunia terus berubah.

Oleh Adele Rissa

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: SADA adakan lawatan penanda aras di Selangor
Next: Keluarga sakinah dalam zaman penuh ujian

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.