
SARIKEI: Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Sarikei (PKMB Sarikei) sedang mengesan ibu kandung atau waris kepada seorang bayi perempuan yang kini di bawah jagaan Pelindung Kanak-kanak pejabat tersebut.
Bayi berkenaan, yang dianggarkan berusia sekitar tiga bulan, telah ditinggalkan di sebuah bilik rumah sewa di Jalan Tunku Osman, Sibu pada 10 April lalu.
Laporan polis berkaitan insiden itu telah dibuat di Balai Polis Sentral Sibu.
Menurut PKMB Sarikei, kes ini masih dalam siasatan pihak Pelindung Kanak-kanak mengikut peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
Usaha sedang dijalankan untuk mengesan ibu atau waris bayi bagi tujuan mendapatkan maklumat lanjut berkaitan penempatan serta pendaftaran Sijil Kelahiran bayi terbabit.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali ibu kandung bayi perempuan tersebut diminta menghubungi Pelindung Kanak-kanak iatu Atika atau Emy di talian 084-651005 atau 084-644750 dengan segera.
Kerjasama orang awam amat dihargai demi kebajikan dan masa depan bayi tersebut.