
SIBU: Peraduan Mewarna Kanak-Kanak Tahunan Farley Sibu kali ke-19 mencuri perhatian ramai apabila seramai 1,300 peserta cilik berhimpun untuk meraikan pesta mewarna di premis Farley, Jalan Salim baru-baru ini.
Antara yang mencuri tumpuan ialah Ivan Law Lik Cheng, yang diumumkan sebagai johan Kumpulan A (umur 10-12 tahun), diikuti oleh Ashley Hwang Zhen Yuan di tempat ke dua dan Edric Yong Tian Jun di tempat ketiga.

Dalam Kumpulan B (Tahun 1-3), Vivian Teng Jia En muncul juara, manakala Edlyn Yong Yann Ru meraih tempat kedua dan Sharon Wong Sie Yu di tempat ketiga.
Bagi Kumpulan C (kategoti tadika), gelaran juara disandang oleh Tristan Ting Ding Rui, manakala Aaron Ting Zu Yue dan Hii Shan Qi masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Sambutan yang meriah bukan sahaja tertumpu kepada pertandingan mewarna, tetapi turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan yang menghiburkan dan bermanfaat.
Antaranya ialah sesi soal jawab berhadiah, pameran trak bomba dan kenderaan polis, klinik pergigian bergerak, serta pemeriksaan kesihatan percuma yang turut mendapat sambutan daripada para ibu bapa dan penjaga.
Persembahan badut ceria, lengkap dengan aksi lucu dan pemberian belon, menceriakan lagi suasana.
Kanak-kanak turut menikmati aktiviti seperti lukisan muka yang penuh warna-warni, selain menyediakan pelbagai stesen makanan ringan untuk seisi keluarga.

Peraduan ini bukan sahaja menjadi platform untuk mencungkil bakat seni anak-anak sejak usia muda, malah menggalakkan penglibatan komuniti setempat dalam aktiviti berunsur pendidikan dan kekeluargaan.
Pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada semua peserta, ibu bapa, guru dan sukarelawan yang menjayakan acara ini, serta berikrar untuk terus menyokong pembangunan sahsiah dan kreativiti generasi muda di Sibu.
Oleh Raihan Omera Kausar