Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Teknologi tidak boleh ganti nilai kekeluargaan – Mustapha
  • SEMASA

Teknologi tidak boleh ganti nilai kekeluargaan – Mustapha

Utusan Sarawak 2 days ago

KUCHING: Pendidikan tentang penggunaan teknologi perlu dilaksanakan secara bersepadu hingga ke institut pengajian tinggi supaya mahasiswa bukan setakat menguasai teknologi tersebut malah mampu menyeimbangkan dengan nilai kehidupan dan tidak terperangkap hingga menjejaskan hubungan kekeluargaan.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata mahasiswa dan ibu bapa mereka perlu lebih peka kerana pengaruh teknologi yang kian mendalam dalam kehidupan seharian boleh menyebabkan seseorang mengabaikan nilai-nilai murni yang diajar oleh agama dan budaya.

“Terdapat mahasiswa yang lebih cenderung berkomunikasi dengan aplikasi seperti ChatGPT berbanding berbicara dengan ibu bapa mereka.

“Mereka mengatakan aplikasi berkenaan boleh memberi jawapan dengan cepat dan mudah, sedangkan ibu bapa pula terlalu sibuk untuk melayan pertanyaan mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Wanita Pesona Elegan, Jiwa Sejahtera, di Politeknik Kuching di sini hari ini.

Seminar selama sehari yang dianjurkan oleh Pertubuhan SALWA Malaysia dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Kementerian Pendidikan Tinggi itu, dihadiri kira-kira 600 peserta. 

Mustapha juga menegaskan trend dalam kalangan ibu bapa masa kini yang memberikan gajet kepada anak-anak sejak kecil bagi ‘mendiamkan’ mereka adalah antara amalan yang perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak termasuk kementerian berkaitan dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Dalam proses mendidik, kita secara tidak sedar telah menyerahkan peranan kita kepada teknologi. Akhirnya, anak-anak terlalu bergantung kepada peranti dan tidak lagi melihat ibu bapa sebagai sumber utama kasih sayang dan bimbingan,” katanya.

Pada masa yang sama, Mustapha turut menyarankan mahasiswa supaya terlibat secara aktif dalam aktiviti yang menyentuh aspek pembangunan sahsiah, keyakinan dan pemerkasaan diri sebagai satu bentuk latihan kepimpinan dan pengurusan.

Beliau berkata melalui penglibatan langsung dalam aktiviti seperti itu mahasiswa berpeluang mengasah kemahiran mengurus, merancang, serta melaksanakan aktiviti. 

“Ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan diri malah menjadi nilai tambah yang penting apabila mereka menamatkan pengajian kelak,” katanya.– Bernama

Continue Reading

Previous: Kepimpinan GPS kekal utuh, tidak terjejas spekulasi – Ahmad Ibrahim
Next: Pelantikan hakim kanan mahkamah atasan perlu patuhi setiap peruntukan undang-undang – Sultan Selangor

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.