
KUCHING: Kepimpinan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kekal bersatu, fokus dan berdaya tahan meskipun ada spekulasi yang cuba mencetuskan perpecahan.
Ahli Majlis Tertinggi PBB, Senator Dato’ Ahmad Ibrahim menegaskan kenyataan itu sebagai reaksi terhadap laporan media yang mendakwa wujudnya persaingan dalaman berkaitan jawatan Premier Sarawak.
“Pimpinan Sarawak kekal utuh, fokus, tidak goyah, tiada perpecahan dalaman dan tiada perebutan kuasa. Hanya tumpuan terhadap pembangunan, keamanan, kemakmuran dan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menyifatkan dakwaan tersebut sebagai taktik lama pihak tertentu yang cuba memecah-belahkan perpaduan politik negeri ini.
“Cubaan untuk menabur bibit perpecahan ini bukanlah perkara baharu. Ia datang daripada mereka yang tidak memahami budaya kita, semangat solidariti kita, dan tekad kita untuk meletakkan Sarawak sebagai keutamaan mengatasi politik dan kepentingan peribadi,” tambahnya.
Mengulangi pepatah ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’, beliau turut menegaskan bahawa kepimpinan Sarawak tidak akan digugat desas-desus atau tajuk berita sensasi.
“Kita berdiri teguh di belakang kebijaksanaan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, muafakat parti dan suara rakyat Sarawak,” katanya.
Beliau turut menggesa rakyat Sarawak supaya kekal tenang, tidak terpengaruh dengan gangguan luar dan terus fokus dalam misi bersama untuk memajukan negeri ini demi generasi akan datang.
“Kepada pihak luar yang cuba mencampuri urusan kami, kami tidak akan berpecah dan tidak akan terhenti,” tegasnya.