

TAKLIMAT semasa lawatan ke Taman Industri Ekonomi Kitaran Guangzhou Fushan.
SHENZHEN: Delegasi dari Sarawak yang diketuai Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi, telah mengadakan lawatan rasmi ke Taman Industri Ekonomi Kitaran Guangzhou Fushan dan Stesen Janakuasa Simpanan Hidro Shenzhen pada 15 Julai 2025.
Lawatan tersebut bertujuan untuk meneroka teknologi tenaga baharu dan memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang utiliti, tenaga bersih, grid pintar serta penyimpanan tenaga hidro bertekanan.
Di Guangzhou, delegasi tersebut meninjau fasiliti penjanaan tenaga daripada insinerator terbesar di dunia yang terletak di taman industri berkenaan.
Mereka diberi taklimat mengenai sistem tenaga bersepadu berasaskan sisa serta penggunaan sumber tenaga baharu, integrasi grid pintar dan proses penukaran tenaga bersih bagi menjayakan utiliti bandar mampan dan penjanaan elektrik yang lebih mesra alam.

Seterusnya di Shenzhen, delegasi mengadakan lawatan ke Stesen Janakuasa Simpanan Hidro Shenzhen, antara fasiliti penyimpanan hidro terbesar dan paling maju di China.
Menurut Julaihi, kemudahan seperti ini amat relevan dengan landskap tenaga Sarawak yang sedang berkembang, khususnya dengan peningkatan integrasi sumber tenaga boleh diperbaharui.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan dua hala, Julaihi turut menghadiri pertemuan bersama pemimpin dan ketua jabatan kerajaan Shenzhen yang diketuai Pengarah Pejabat Hal Ehwal Luar Shenzhen, Cao Saixian.
Kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai bekalan air, bekalan elektrik, telekomunikasi serta ICT, selain meneroka potensi kerjasama strategik dalam bidang tersebut.
Kemajuan Shenzhen dalam infrastruktur utiliti dan keterhubungan digital menarik minat Sarawak, terutamanya dari segi aplikasi teknologi berskala besar bagi menyokong pembangunan bandar dan kawasan yang pesat membangun.
Lawatan tersebut mengukuhkan komitmen Sarawak untuk meningkatkan daya tahan tenaga serta memperluas kerjasama antarabangsa, khususnya dalam bidang teknologi tenaga hijau.