SIMANGGANG: Lima pemilik Gerai Berkunci Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) berdekatan dengan pasar tamu lama dalam bandar ini didapati telah melanggar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menerusi operasi pemantauan yang dilakukan pasukan Petugas Khas Sri Aman pada Khamis lepas.
Pegawai Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sri Aman, Kapten (PA) Siti Huzaimah Ibrahim berkata perbuatan melanggar SOP yang telah ditetapkan itu dilakukan oleh pemilik gerai nombor 5, 15, 18, 19 dan 20 di kawasan tersebut.
“Kelima-lima pemilik Gerai Berkunci MDSA berkenaan didapati tidak menyediakan buku catatan kehadiran pelanggan dan alat untuk memeriksa suhu badan seperti yang dikehendaki oleh SOP sehingga diberi amaran oleh pihak polis berhubung kesalahan itu.
“Justeru kami berharap agar pemilik premis ini bertindak mematuhi SOP mulai sekarang jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang kelak,”katanya
Selain mengadakan pemeriksaan terhadap Gerai Berkunci MDSA, pasukan petugas khas itu kata beliau turut bertindak memantau pematuhan SOP PKPP terhadap 19 premis perniagaan lain terdapat di sekitar bandar ini.
“Kesemua 19 premis berkenaan didapati kekal mematuhi SOP PKPP menerusi operasi pemantauan yang telah dilakukan oleh Pasukan Pertugas Khas Sri Aman sepanjang Khamis lepas.
“Tiada insiden berlaku sepanjang berlangsungnya operasi ini dengan pemilik premis, pekerja dan orang ramai terus diberi dinasihat untuk mematuhi SOP demi memastikan Sri Aman kekal sebagai zon hijau pandemik COVID-19 dari masa ke semasa,”katanya.
Terdahulu operasi ini turut disertai dua anggota Pasukan Polis Diraja Malaysia, dua anggota Angkatan Tentera Malaysia, dua anggota APM, tiga anggota Penguatkuasa Majlis Daerah Sri Aman dan dua anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia.
Oleh Valentine Ngumbang