
KUCHING: Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi dilantik sebagai Ahli Friends of Ministry (FOM) oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
Beliau menerima watikah pelantikan itu daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek selepas majlis pertemuan dan mesyuarat bersama ahli-ahli FOM yang lain di pejabatnya di Putrajaya, semalam.
Fadhlina dalam surat pelantikan itu berkata, pelantikan itu sebagai pengiktirafan dan komitmen Ahmad Johnie yang prihatin dengan isu pendidikan di Sarawak.
Kementerian Pendidikan yakin dengan pelantikan itu, Ahmad Johnie sebagai Ahli FOM akan memberi banyak lagi sumbangan yang boleh diketengahkan untuk pendidikan di Sarawak, katanya.

Objektif utama pelantikan itu adalah untuk mengupayakan Ahli-ahli Parlimen Kelab Penyokong Kerajaan Perpaduan sebagai agen penyampaian dasar dan polisi kementerian secara berkesan kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Selain itu, pelantikan itu juga akan membantu membina naratif dan persepsi positif terhadap inisiatif dan pentadbiran Kerajaan Perpaduan, menjadi jambatan komunikasi dua hala antara rakyat dan kementerian berkaitan isu-isu pendidikan dan menyokong pelaksanaan dasar pendidikan melalui kerjasama strategik antara Parlimen dan KPM.
Menerusi surat itu juga menteri pendidikan berkenaan memberitahu, kementerian percaya jaringan kerjasama itu akan memperkukuhkan usaha bersama dalam menyampaikan maklumat sahih, menyantuni keresahan rakyat serta memperkukuhkan keyakinan terhadap komitmen Kerajaan Perpaduan dalam memperkasa sistem pendidikan negara.
Sementara itu, Ahmad Johnie ketika mengulas pelantikan itu berkata, pelantikan itu adalah satu penghargaan dan pengiktirafan atas usahanya yang banyak membangkitkan isu pendidikan di Sarawak selama menjadi wakil rakyat.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pendidikan atas kepercayaan yang diberikan dan komited melaksanakan tanggungjawab demi kemajuan pendidikan negeri dan negara,” katanya.