Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • OTSM mula kerja tanah bina kilang polisilikon bernilai RM2 bilion di Bintulu
  • SEMASA

OTSM mula kerja tanah bina kilang polisilikon bernilai RM2 bilion di Bintulu

Utusan Sarawak 2 days ago
SIMBOLIK…Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama tetamu kenamaan yang lain semasa simbolik pecah tanah. Foto UKAS

BINTULU: OCI Tokuyama Semiconductor Materials Sdn Bhd (OTSM) hari ini memulakan kerja tanah bagi membina kilang polisilikon gred semikonduktor bernilai RM2 bilion di Taman Perindustrian Samalaju di sini.

Ini menandakan satu langkah penting kemunculan Sarawak sebagai pemain strategik dalam rantaian bekalan semikonduktor global.

Syarikat itu berkata, kemudahan seluas 13.7 hektar tersebut akan menghasilkan 8,000 tan polisilikon berketulenan tinggi setiap tahun untuk dieksport ke pasaran teknologi utama seperti Korea, Jepun dan Taiwan.

Menurut OTSM, operasi kilang berkenaan dijangka bermula pada 2029 dengan kerja pembinaan dijadualkan bermula pada suku ketiga tahun ini selain penyempurnaan mekanikal disasarkan pada suku pertama 2027.

OTSM merupakan syarikat usaha sama 50:50 di antara OCI TerraSus Sdn Bhd iaitu anak syarikat milik penuh OCI Holdings dari Korea dengan Tokuyama Corporation dari Jepun.

Sementara itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang merasmikan majlis berkenaan turut menyaksikan acara pertukaran perjanjian pembelian tenaga selama 10 tahun di antara OCI TerraSus dengan Syarikat Sesco Bhd iaitu cabang operasi dan runcit Sarawak Energy Bhd.

Perjanjian tersebut akan menyaksikan kilang itu dibekalkan dengan 80 megawatt tenaga boleh baharu bermula 2029.

Dalam pada itu, Pengerusi OCI Holdings dan OCI TerraSus Lee WooHyun menyifatkan usaha sama berkenaan sebagai kerjasama yang jarang berlaku tetapi amat signifikan antara dua gergasi perindustrian Asia di luar negara asal mereka.

“Projek ini mencerminkan keyakinan kukuh kami terhadap Sarawak sebagai destinasi pelaburan strategik. Ia menjadi simbol inovasi, kelestarian dan impak tempatan yang bermakna,” katanya.

Lee berkata pelaburan ini seiring dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan akan mewujudkan kira-kira 200 pekerjaan berkualiti tinggi sekali gus menyumbang kepada pembangunan bakat teknikal tempatan.

Beliau juga memuji institusi seperti CENTEXS dan Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak kerana memainkan peranan penting dalam menyediakan tenaga kerja yang bersedia untuk masa depan.

Dalam pada itu, Presiden Tokuyama Corporation Hiroshi Yokota dalam ucapannya menerusi rakaman memberitahu, projek ini akan meningkatkan lagi kedudukan Sarawak dalam rantaian nilai semikonduktor global.

“Dengan gabungan kepakaran teknikal kami, sokongan kerajaan dan landskap tenaga yang kompetitif di Sarawak, kami yakin dapat menghasilkan produk berkualiti tinggi secara konsisten,” kata Yokota.

Kemudahan baharu ini menandakan projek utama yang kedua OCI TerraSus di negeri ini selepas berjaya melancarkan OCI Kumho pada 2024 iaitu usaha sama dengan Kumho P&B Chemicals bagi menghasilkan epiklorohidrin, komponen utama dalam resin epoksi, rawatan air dan pembuatan getah.

Dahulu dikenali sebagai OCI M Sdn Bhd, OCI TerraSus merupakan anak syarikat milik penuh OCI Holdings dan ia merupakan peneraju global dalam penyelesaian tenaga hijau.

OCI TerraSus menghasilkan 35,000 tan polisilikon gred solar setiap tahun iaitu bahan penting dalam pengeluaran wafer silikon dan sel fotovoltaik.

-Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Agong berkenan kurnia biasiswa kepada 13 penuntut IPT
Next: Op Kesan 4.0: 37 premis diperiksa, keadaan terkawal di Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.