
MIRI: Para penggiat seni digesa untuk memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkembang pesat pada masa kini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak (MSM), Awang Ikman Awang Sepian, berkata langkah ini penting agar mereka tidak ketinggalan dalam era dunia baharu.
Katanya, AI bukan lagi sekadar konsep futuristik tetapi telah menjadi sebahagian daripada kerja harian dan industri kreatif.
“AI yang telah wujud sejak 1990-an, kini digunakan secara meluas untuk mengoptimumkan tugasan berulang, menganalisis data, meningkatkan produktiviti, dan juga mencipta kandungan seperti muzik, penulisan dan seni visual.
“AI boleh membantu artis dan pengamal kreatif menghasilkan karya yang lebih inovatif dan mempromosikan seni mereka kepada khalayak yang lebih luas. Ia menawarkan banyak faedah, daripada mengautomasikan pekerjaan rutin kepada penjanaan kandungan kreatif baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Dialog Seri Perdana 2025: Persediaan Industri Kreatif untuk menghadapi Revolusi Teknologi AI, Dalam Industri Seni Kreatif anjuran MSM di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.
Bagaimanapun, Awang Ikman turut mengingatkan peserta bahawa di sebalik kemudahan yang ditawarkan AI dalam memudahkan tugasan, seseorang itu tidak boleh kehilangan semangat dan identiti seni yang asli.
Sebelum ini, katanya, MSM telah menganjurkan bengkel di mana pelajar digalakkan untuk sumbang saran dan meneroka bagaimana AI boleh membantu dalam mempromosikan karya seni mereka, sambil belajar tentang cabaran etika dan privasi yang berkaitan dengan penggunaan teknologi.
“Matlamat inisiatif ini adalah untuk melengkapkan generasi muda dengan kemahiran baharu seperti analisis data dan kejuruteraan AI, menyediakan mereka untuk peluang kerjaya yang baru muncul,” katanya.
Lebih 200 peserta diberi pendedahan tentang penggunaan AI dalam mencipta karya seni dan inovasi digital melalui pembentangan dan forum.
Dialog ini mempertemukan agensi penguatkuasa agensi kerajaan, penganjur festival dan acara, persatuan dan penggiat seni di seluruh Sarawak dan di kawasan sekitarnya untuk membincangkan bagaimana Al dapat merubah dunia seni kreatif tempatan.
Melalui sesi pembentangan dan forum, peserta akan mendapat pendedahan tentang penggunaan Al dalam penghasilan karya seni dan inovasi digital,” kata.
MSM berharap dialog ini dapat merangsang idea baru, memperkukuh jaringan kerjasama serta memacu perkembangan seni kreatif Sarawak agar relevan dengan perkembangan teknologi semasa tanpa mengabaikan warisan budaya.
Dialog Seni Perdana 2025 adalah langkah strategik dalam menjadikan Sarawak sebagai pusat seni yang inovatif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Oleh Liong Chai Ling