Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Bermula sebagai hobi, lensa Tapa Otai rakam ratusan konsert
  • INSPIRASI

Bermula sebagai hobi, lensa Tapa Otai rakam ratusan konsert

Utusan Sarawak 16 hours ago

KUALA LUMPUR:  Minat terhadap muzik dan fotografi yang bermula sebagai hobi mendorong Mustaffa Ahmad Hidzir, 70, menjadi jurugambar konsert bebas sejak lebih dua dekad lalu.

Dikenali sebagai Tapa Otai dalam kalangan pemuzik tempatan, bekas pereka grafik itu memilih untuk berdiri atas kaki sendiri mengambil gambar ratusan konsert, khususnya muzik rock, tanpa sokongan syarikat media atau akses rasmi.

“Ambil gambar memang hobi saya… tapi saya bukan jurugambar rasmi, tak ada pas media. Jadi, kalau nak masuk konsert kena pandai-pandai cari jalan. Kadang-kadang minta tolong kawan, promoter, kru… apa yang penting, kita bina contact dari situ,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Menurutnya, penglibatannya bermula secara tidak sengaja sekitar awal 2000, selepas disahkan menghidap tekanan darah tinggi dan dinasihatkan doktor agar mengamalkan gaya hidup lebih sihat.

Susulan itu, Tapa mula berjalan kaki mengelilingi ibu kota sambil membawa kamera digital sebagai satu bentuk senaman, yang secara tidak langsung menghidupkan kembali minat lamanya terhadap fotografi.

 “Hari pertama saya naik LRT dari Petaling Jaya turun di Kampung Baru, saya berjalan sampai Bukit Bintang dan ambil gambar. Dari situ saya rasa seronok. Lepas itu kawan pula ajak ke konsert. Saya pula memang suka muzik, jadi saya cuba ambil gambar… lekat sampai sekarang,” katanya.

Menurutnya, minat terhadap muzik, khususnya genre rock, berputik di zaman sekolah apabila bapa saudaranya memperkenalkan rekod The Beatles dan The Rolling Stones.

Minat semakin mendalam selepas menonton dokumentari konsert Woodstock (1969) dan The Concert for Bangladesh (1971) yang merakam sisi di sebalik tabir dunia muzik serta peranan jurugambar dalam mengabadikan momen pentas.

“Kemuncaknya, apabila Santana pertama kali datang ke Malaysia pada Julai 1973, saya sanggup hitch-ride seorang diri ke Kuala Lumpur semata-mata untuk menontonnya. Situasi itu membuatkan saya sedar, ada individu yang bekerja mengambil gambar konsert, dan bidang ini bukan sekadar hiburan tetapi satu bentuk seni,” katanya.

Tapa berkata pengalamannya bekerja di syarikat rakaman seperti EMI, Warner Music dan BMG memberi kelebihan kepadanya dari segi kefahaman tentang struktur lagu dan perjalanan persembahan pentas.

“Kalau kamera tak lepas dari mata pun, belum tentu dapat momen. Kena faham tempo muzik, tahu bila solo gitar nak ‘masuk’, bila cahaya pentas berubah. Kalau tak ‘masuk’ dalam muzik, gambar jadi kosong, tak ada jiwa,” katanya.

Bagaimanapun, lulusan seni grafik daripada Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara) ini mengakui bidang fotografi masih dipandang remeh dan kurang dihargai sepertimana cabang seni yang lain.

“Contohnya, di Tokyo, Hong Kong dan bandar raya besar lain mempunyai galeri foto sendiri. Tapi di sini, nilai seni foto masih belum dihargai setaraf cabang seni lain. Itulah cabaran kita,” katanya, sambil menekankan dokumentasi seni sebagai usaha jangka panjang yang perlu diberi perhatian.

Setelah lebih 20 tahun merakam pelbagai konsert, Tapa kini menghimpunkan sebahagian hasil kerjanya dalam buku fotografi berjudul Stage 0.1 – Concert Photography by Tapa Otai yang diterbitkan dengan kerjasama Balai Seni Negara.

Buku setebal 240 muka surat itu menghimpunkan hampir 300 gambar hitam putih konsert rock tempatan dan merupakan cetusan idea pengarah filem prolifik Dr U-Wei Haji Saari.

“Buku ini saya dedikasikan kepada pemuzik yang jarang diberi tumpuan lensa seperti pemain gitar, dram dan keyboard, dengan setiap gambar disertakan maklumat lengkap seperti nama pemuzik, tarikh dan lokasi konsert.

“Ada juga lokasi konsert yang telah dirobohkan dan dibina semula, jadi buku ini boleh menjadi bahan rujukan untuk semua. Malah, ada gambar pemuzik yang saya kenal sudah meninggal dunia dan saya paparkan dalam buku ini sebagai satu bentuk penghormatan kepada mereka,” katanya yang  merancang menerbitkan Stage 0.2, dijangka memberi fokus kepada muzik alternatif atau tradisional.– Bernama

Continue Reading

Previous: Eksklusif: Dentuman muzik aiskrim, detik bahagia kanak-kanak desa

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.