

DATO Sri Doris Sophia Brodie menerima watikah pelantikan sebagai ‘Friend of Ministry’ bagi KDN yang disampaikan oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, hari ini. Foto: Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sri Aman
SIMANGGANG: Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie telah dilantik sebagai ‘Friend of Ministry’ (FOM) bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang disampaikan oleh Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, hari ini.
Beliau berkata pelantikan ini merupakan satu inisiatif strategik yang diperkenalkan oleh Ketua-Ketua Whip Kerajaan di Parlimen menerusi Majlis Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan (BBC), bertujuan mengukuhkan kerjasama di antara Ahli Parlimen dan kementerian berkaitan.
“Inisiatif FOM membolehkan Ahli Parlimen memilih mana-mana kementerian sebagai rakan strategik untuk memperkukuh kefahaman mengenai dasar serta tanggungjawab kementerian, selain memperluas ruang libat urus secara sistematik dan berfokus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Doris menegaskan, peranan ini turut membuka ruang komunikasi dua hala yang lebih berkesan antara kementerian dan rakyat, bukan sahaja di peringkat Parlimen tetapi juga di akar umbi.
“Saya percaya hubungan kolaboratif ini bukan sahaja akan memperkasa perbahasan dasar di Dewan Rakyat, tetapi yang lebih penting, memastikan dasar dan pelaksanaan kementerian mencerminkan realiti, suara dan harapan rakyat,” jelasnya.
Sebagai wakil rakyat dari Sarawak, beliau menegaskan komitmennya untuk menyuarakan isu-isu keselamatan sempadan, pengurusan pendatang asing, pendaftaran dokumen pengenalan diri serta ketelusan dalam penguatkuasaan undang-undang khususnya di Malaysia Timur.
Doris turut bertekad menyokong usaha KDN dalam memperkukuh ketenteraman awam serta mempertingkatkan integriti institusi-institusi di bawah kementerian tersebut.
“Saya berharap amanah ini dapat saya laksanakan sebaik mungkin demi rakyat dan demi keselamatan negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelantikan Doris Sophia sebagai ‘Friend of Ministry’ KDN dilihat sebagai pengiktirafan terhadap suara dan kepentingan rakyat Sarawak dalam pelaksanaan dasar kerajaan di peringkat persekutuan
Terdahulu, seramai 17 ahli Parlimen penyokong atau backbenchers Kerajaan Perpaduan dilantik sebagai FOM bagi KDN.
Ahli Parlimen terlibat ialah wakil rakyat dari kawasan Bera, Ledang, Kepong, Labis, Paya Besar, Sibu, Kota Melaka, Jelutong, Subang, Batu, Pekan, Sri Aman, Baram, Lawas, Lubok Antu, Hulu Langat dan Ranau.
Oleh Adi Safarman