
SIBU: Keputusan kerajaan Sarawak untuk mengekalkan had umur belia kepada 40 tahun ke bawah disifatkan sebagai satu pendekatan realistik dan inklusif, sejajar dengan keperluan pembangunan generasi muda di negeri ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang berkata, langkah itu mencerminkan dasar yang mengambil kira realiti sosioekonomi tempatan, terutama di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, ramai belia Sarawak hanya memulakan kerjaya, membina keluarga dan menyertai program pembangunan selepas usia 30 tahun, menjadikan takrifan umur 40 tahun ke bawah masih relevan untuk memastikan mereka terus mendapat akses kepada pelbagai program, insentif serta peluang kemajuan diri.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendirian kerajaan Sarawak yang memilih untuk tidak mengikuti langkah Kerajaan Persekutuan menurunkan had umur belia daripada 40 kepada 30 tahun.
Tiang menjelaskan bahawa isu ini bukan sekadar soal angka, sebaliknya ia melibatkan prinsip dasar yang berteraskan keperluan rakyat.
Katanya, pendekatan ini turut disokong oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, yang juga Presiden Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS).
Abdul Karim berpendapat bahawa definisi belia di Sarawak harus ditentukan berdasarkan konteks tempatan dan bukan semata meniru pendekatan Persekutuan.
Tiang yang juga Naib Presiden SABERKAS menjelaskan bahawa organisasi tersebut mengamalkan model kepimpinan hibrid, di mana 30 peratus jawatan diisi oleh individu berumur lebih 40 tahun untuk membimbing generasi muda dalam organisasi.
“Ini penting bagi memastikan kesinambungan kepimpinan dan pembangunan belia dilakukan secara berstruktur dan berkesan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa penurunan had umur belia kepada 30 tahun boleh menyebabkan ramai golongan belia ‘senior’, termasuk profesional muda dan usahawan berusia 30-an, terkeluar daripada kelayakan menyertai program latihan, keusahawanan dan sukarelawan yang diwujudkan untuk belia.
Katanya, situasi itu boleh menjejaskan pembangunan bakat dan menyekat potensi sumbangan mereka kepada negeri.
Tambah beliau, dasar yang bersifat inklusif ini juga akan memastikan penglibatan lebih meluas anak muda Sarawak dalam proses penggubalan dasar, penyertaan organisasi belia dan pembangunan komuniti.
“Ia selari dengan visi kerajaan negeri untuk melahirkan generasi belia yang bukan sahaja celik ilmu dan teknologi, tetapi juga aktif menyumbang kepada masyarakat serta kemajuan negeri secara keseluruhan,” katanya.
Oleh Tarani Lanting