KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan mengenal pasti mekanisme untuk meningkatkan peratusan pembiayaan alternatif seperti modal teroka dan pendanaan ramai bagi memudahkan perniagaan baharu menjana modal perniagaan mereka.
Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar) berkata, pada masa ini, 95 peratus pembiayaan untuk usahawan tempatan disalurkan daripada institusi kewangan manakala baki lima peratus lagi menerusi wang persendirian dan pembiayaan alternatif seperti pendanaan ramai.
“Setakat ini, kita ada senarai syarikat yang mahu menjadi rakan kongsi atau ‘venture capitalist’ (pemodal teroka) kepada usahawan, namun ada kekangannya.
“Malah, terdapat dua kekangan utama pemodal teroka iaitu syarikat asal yang memohon kerjasama itu tidak mahu saham-saham saham diserahkan kepada pemodal. Selain itu kos untuk sumbangan pemodal teroka juga lebih tinggi daripada kos bank dan juga kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian berkenaan di Dewan Rakyat semalam.
Selain itu, Wan Junaidi berkata Dasar Perusahaan Sosial akan dibentangkan dua bulan lagi dalam usaha mempertingkatkan jumlah usahawan sosial.
“Kita mahu meminda sedikit dasar berhubung dengan perusahaan sosial dan undang-undang koperasi secara strukturnya. Saya yakin menerusi perubahan itu, (pertumbuhan) koperasi akan meningkat,” katanya. – Bernama