Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • 1,195 peserta DUN Kuala Rajang lulus MyLesen, kini miliki lesen motosikal B2
  • Tengah
  • WILAYAH

1,195 peserta DUN Kuala Rajang lulus MyLesen, kini miliki lesen motosikal B2

Utusan Sarawak 12 hours ago
TERIMA KASIH…..Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh dan Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili menyerahkan replika lesen B2 kepada penerima.

TANJUNG MANIS: Seramai 1,195 peserta daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang berjaya memperoleh lesen motosikal Kelas B2 menerusi Program Bantuan Lesen Memandu (MyLesen) setelah melepasi proses tapisan, latihan dan ujian yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, program MyLesen yang diperkenalkan sejak awal 2024 bertujuan membantu golongan B40 mendapatkan lesen motosikal dengan kos minimum.

“Terima kasih diucapkan kepada warga kerja JPJ Sarawak, khususnya JPJ Sarikei, Pejabat Pusat Khidmat N41 Kuala Rajang, Institut Memandu Sarikei Sdn Bhd serta agensi-agensi dan jabatan-jabatan kerajaan mahupun swasta yang turut terlibat dalam menjayakan program ini.

“Tahniah kepada para peserta kerana telah hadir menjalani dan mengikuti dengan jayanya ujian dan latihan yang telah ditetapkan sehingga layak untuk dilesenkan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutupan tersebut bertempat di Dewan IKS, hari ini. 

Len Talif turut memetik ucapan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa berucap merasmikan majlis penutupan MyLesen di Gedong pada Mac lalu yang meminta agar pengguna jalan raya tidak menggunakan jalan untuk berlumba.

“Permintaan itu nampak mudah dan senang, namun sukar untuk ditunaikan jika kita sebagai pengguna jalan raya masih mengambil ringan aspek keselamatan jalan raya.

“Harus diingatkan bahawa kesan daripada kemalangan boleh mengakibatkan kecederaan, kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda. 

“Kecederaan yang serius akibat kemalangan boleh menyebabkan mangsa lumpuh atau mengalami kecacatan fizikal,” katanya. 

Tambahnya, kos rawatan dan terapi pemulihan bukan sahaja menyebabkan trauma dan gangguan emosi yang berpanjangan kepada mangsa, malah menambah beban kepada sistem kesihatan dan perbelanjaan kerajaan.

“Apabila berlakunya kematian pula, negara akan mengalami kerugian tenaga kerja dan produktiviti masa depan yang penting kerana telah kehilangan aset modal insan yang berharga seandainya mangsa adalah harapan keluarga dan menjadi tunjang penggerak ekonomi sesebuah keluarga.

“Akibat kematian ini, maka hilanglah punca pendapatan dan tempat keluarga ini bergantung. 

“Sekiranya mangsa adalah individu berkemahiran dan terlibat dengan dasar pembangunan negara, maka gerak kerja juga akan menjadi lambat dan terencat,” katanya lagi. 

Selain itu, katanya pihak kerajaan juga terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk membaiki atau menggantikan aset atau harta kerajaan yang rosak dan musnah akibat kemalangan. 

“Dianggarkan sebanyak RM19.7 bilion kerugian dicatatkan setahun akibat kemalangan menurut kajian yang telah dijalankan oleh pihak Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

“Oleh yang demikian, manfaatkanlah pemberian lesen ini serta kemudahan sistem perhubungan dan infrastruktur jalan yang telah diusahakan dan disediakan oleh pihak kerajaan demi kesejahteraan rakyat sebaik mungkin.

“Jika masih terdapat segelintir pengguna jalan raya yang memandang remeh serta tidak mengamalkan pemanduan berhemah dan beretika, maka usaha kerajaan untuk menjalankan kempen keselamatan jalan raya, program pendidikan lalu lintas dan program bantuan lesen seperti ini tidak akan mencapai objektif yang diharapkan,” katanya. 

Beliau berharap agar semua penerima bantuan program MyLesen dapat membantu usaha murni kerajaan dengan menjadi contoh kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Sekali gus kita mampu mengubah budaya serta pemikiran ke arah menjadi pengguna jalan raya yang berhemah, bertoleransi dan bertolak ansur, seiring dengan aspirasi kerajaan untuk mengurangkan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2030,” katanya. 

Turut hadir Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili. 

Oleh Earl Anek 

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Eksklusif: Bomba Bintangor giat dekati komuniti, perkasa ilmu cegah kebakaran
Next: Homeless man in Pending receives help to return to Sarikei

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.