
BINTANGOR: Penglibatan aktif Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bintangor dalam Program Jangkauan Santuni Komuniti (POSKOM) di Dewan Masyarakat Meradong sejak semalam berjaya menarik perhatian orang ramai terhadap kepentingan ilmu pencegahan kebakaran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, pihaknya menyertai program itu menerusi pameran kerjaya dan perkongsian maklumat berkaitan kesedaran kebakaran, merangkumi aspek pencegahan hingga tindakan awal semasa insiden.
“Matlamat utama kami adalah untuk meningkatkan kepekaan masyarakat terhadap risiko kebakaran di sekeliling mereka serta memahami langkah awal yang perlu diambil.
“Sambutan amat menggalakkan. Ramai pengunjung singgah di gerai pameran kami dan menunjukkan minat untuk mengetahui peranan bomba serta aspek keselamatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.
Mahmudin berkata, demonstrasi pemadaman kebakaran dapur gas turut diadakan, termasuk latihan penggunaan selimut api oleh orang awam.
“Latihan ini memberi keyakinan, khususnya kepada golongan wanita, untuk bertindak pantas jika berlaku kebakaran kecil di rumah,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa JBPM akan meneruskan pengukuhan Pasukan Celik Suri secara berterusan agar lebih ramai wanita mendapat pendedahan mengenai keselamatan dapur dan kediaman.
Dalam pada itu, beliau menekankan keperluan menubuhkan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di kawasan luar bandar yang jauh dari balai bomba, sebagai usaha mempercepatkan tindakan awal sebelum bantuan tiba.
“JBPM juga sentiasa turun padang ke komuniti, termasuk rumah panjang, bagi menyampaikan ilmu berkaitan keselamatan dan pencegahan kebakaran secara langsung,” tambahnya.
Mahmudin berharap agar program seperti POSKOM diteruskan kerana manfaat besar yang diberikan kepada masyarakat serta memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan dan komuniti setempat.
Oleh Earl Anek