
KUCHING: Pesta Makanan Autisme 2025 kembali memeriahkan Dewan Persatuan Gereja-Gereja di Jalan Stampin pagi tadi sebagai acara kutipan dana tahunan terbesar bagi menyokong pendidikan dan terapi komuniti autisme tempatan.
Acara yang berlangsung dari 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari tadi menampilkan 85 gerai makanan dan barangan istimewa, termasuk sajian panas, daging panggang, kuih-muih, pastri, kek, tanaman hiasan serta barangan terpakai.
Penaung acara, Dato Dayang Morliah Awang Daud, isteri kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan turut hadir, menyatakan sokongan berterusan terhadap golongan autisme.
Menurut penganjur, selain mengumpul dana, acara ini bertujuan mendekatkan masyarakat kepada realiti kehidupan individu dengan autisme yang memerlukan akses kepada terapi, latihan kemahiran dan bimbingan berterusan.
Ketika ini, pusat berkenaan berdepan kekangan ruang dengan senarai menunggu pelajar yang panjang. Namun, sebuah bangunan baharu dijangka siap pada suku pertama tahun hadapan, membolehkan lebih ramai pelajar diterima masuk.
Setiap tahun, pusat tersebut memerlukan RM750,000 untuk menampung operasi dan memastikan yuran kekal mampu milik bagi keluarga yang memerlukan.
Pihak penganjur turut menzahirkan penghargaan kepada semua penyumbang yang telah memberikan sokongan, sekali gus membuka ruang kepada masa depan yang lebih cerah untuk komuniti autisme di Sarawak.
Oleh Adele Rissa