
SIBU: Pengerusi SUPP Cawangan Dudong, Wong Ching Yong, menggesa Kerajaan Persekutuan, khususnya Menteri Kesihatan, agar mengambil tindakan segera dan konkrit bagi menangani krisis kesihatan awam negara yang semakin meruncing akibat kekurangan doktor.
Wong, yang juga Penolong Setiausaha Penerangan dan Publisiti SUPP Pusat, berkata isu utama merangkumi beban kerja melampau, gaji rendah, ketelusan yang lemah dalam sistem kontrak, dan penghijrahan profesional kesihatan ke luar negara.
“Menteri mesti segera tunaikan janji seperti semakan elaun ‘on-call’ dan memperkenalkan strategi jangka panjang. Janji kosong tanpa tindakan hanya memburukkan keadaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau turut membangkitkan statistik membimbangkan, antaranya kekurangan hampir 11,000 pakar di hospital awam, yang dijangka meningkat kepada lebih 14,000 dalam lima tahun akan datang. Dalam tempoh 2019 hingga 2023, pelantikan doktor pelatih menurun 47 peratus, manakala 6,417 doktor kerajaan telah meletak jawatan termasuk 1,046 pakar.
“Kita kini hanya ada kira-kira 40 peratus pakar yang diperlukan. Bagaimana mungkin ini tidak dianggap krisis?” soalnya.
Wong turut menegur Ahli Parlimen Sibu dan Lanang, Oscar Ling dan Alice Lau, kerana didakwanya gagal memperjuangkan isu ini dalam Parlimen dan Kerajaan persekutuan.
“Mereka tidak boleh berdiam diri. Kesihatan awam adalah isu rakyat, bukan isu politik,” tegasnya.
Beliau menambah, walaupun kerajaan telah meminda undang-undang untuk memperbaiki laluan kerjaya doktor kontrak, pelaksanaannya masih perlahan dan tidak telus.
Mengulas lanjut, Wong berkata krisis ini bukan sekadar isu tenaga kerja, tetapi memberi kesan langsung terhadap masa menunggu pesakit, kesesakan hospital dan keselamatan rawatan.
“Lebih 70 peratus rakyat bergantung kepada sistem kesihatan awam. Tanpa campur tangan segera, sistem ini akan lumpuh,” katanya.
Oleh Tarani Lanting