Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Eksklusif: Clarissa Natalie angkat kraf manik etnik Bidayuh ke persada komersial
  • TEMPATAN

Eksklusif: Clarissa Natalie angkat kraf manik etnik Bidayuh ke persada komersial

Utusan Sarawak 1 day ago
SENI… Clarissa Natalie, pengasas Natalie Collection mengangkat seni manik Bidayuh sebagai warisan dan identiti etnik melalui rekaan asli buatan tangan.
 

KUCHING: Bermula sekadar minat terhadap seni kraf, Clarissa Natalie, 24, kini giat mengangkat kraf manik etnik Bidayuh ke tahap lebih tinggi melalui jenama miliknya, Clarissa Collection, yang semakin dikenali dalam kalangan peminat aksesori tradisional dan moden tempatan.

Clarissa mula berkecimpung dalam bidang pembuatan manik sejak 2018 ketika berusia 17 tahun dan mula serius menjadikannya sebagai perniagaan pada 2019. Minat mendalam terhadap seni kraf serta sokongan padu daripada kedua ibu bapanya menjadi pemangkin utama kepada permulaan perjalanan beliau dalam bidang ini.

“Saya mula belajar membuat satu jenis aksesori tradisional masyarakat Bidayuh Pinyewa daripada arwah nenek, yang kemudiannya memberi ilham untuk saya meneroka sendiri cara menghasilkan aksesori lain seperti rantai, gelang tangan dan kaki serta pelbagai jenis hiasan,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak.

Menariknya, Clarissa tidak pernah menyertai mana-mana kursus formal, sebaliknya segala kemahiran diperoleh secara autodidak. Inspirasi rekaannya banyak dipengaruhi oleh alam sekeliling, masyarakat, budaya dan trend seni moden, namun tetap berteraskan nilai warisan tradisi.

WARISAN… Rantai manik dengan motif ‘Mata Baji’ dan warna etnik Dayak hasil rekaan eksklusif Natalie Collection yang menggabungkan tradisi dan sentuhan moden.
 

“Setiap corak adalah hasil lakaran saya sendiri tanpa meniru mana-mana rekaan di pasaran. Saya gabungkan elemen tradisional dan moden supaya aksesori ini kekal relevan,” jelasnya.

Menurut Clarissa, tempoh menyiapkan setiap aksesori bergantung kepada saiz dan kerumitan reka bentuk iaitu ada yang mengambil masa hanya dua jam, manakala yang lebih kompleks boleh mencecah empat hari.

Menggunakan bahan tempatan, rekaan Clarissa menampilkan simbol dan motif etnik Bidayuh dan Dayak, termasuk penggunaan warna bendera Sarawak. Antara motif yang menjadi pilihan termasuk ‘Mata Baji’, ‘Mata Puna’ dan ‘Terabai’ yang diinspirasikan daripada perisai masyarakat Iban.

Clarissa menegaskan bahawa rekaannya kini telah didaftarkan di bawah cap dagangan bagi melindungi keaslian dan identiti seni miliknya.

Beliau turut melihat seni manik sebagai elemen penting dalam memperkukuh identiti budaya masyarakat Sarawak.

“Meskipun rekaan moden semakin mendominasi, corak dan warna tradisional tetap memberi gambaran jelas tentang etnik yang diwakili. Ini yang menjadikan seni manik unik dan perlu dikekalkan,” ujarnya.

Tambah beliau, sambutan pasaran terhadap produk manik tempatan sangat menggalakkan bukan sahaja di Sarawak dan Malaysia, malah berpotensi menembusi pasaran luar negara kerana nilai budaya dan keunikan etnik yang dibawakan.

SENI… Clarissa Natalie (kiri), pengasas Natalie Collection mengangkat seni manik Bidayuh sebagai warisan dan identiti etnik melalui rekaan asli buatan tangan.

Namun, Clarissa mengakui cabaran utama sebagai pengusaha ialah persaingan tanpa kesedaran terhadap apresiasi seni serta isu peniruan corak dan reka bentuk yang boleh menjejaskan pasaran dan identiti sesebuah jenama.

Setakat ini, beliau belum pernah menjalinkan kerjasama dengan mana-mana agensi seperti Kraftangan Malaysia, Sarakraf mahupun Tourism Malaysia, namun tetap optimis terhadap masa depan industri kraf manik tempatan.

Clarissa turut berharap agar generasi muda hari ini lebih peka dan menghargai seni budaya etnik masing-masing agar warisan ini tidak pupus ditelan zaman.

“Saya sendiri berhasrat untuk mewariskan kemahiran ini kepada anak-anak dan pelapis baharu agar seni manik terus hidup. Saya percaya manik Sarawak mempunyai potensi besar untuk diangkat sebagai produk warisan bertaraf antarabangsa,” tegasnya.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: PKWPS digesa contohi usaha Persatuan Melanau bantu anak muda ceburi sektor minyak dan gas
Next: 85 gerai meriahkan Pesta Makanan Autisme 2025 di Kuching

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.