
KUCHING: Penghasilan biojisim daripada kernel kelapa sawit di Kilang Pelumat Isirung (KCP), Lubok Antu berpotensi untuk menurunkan harga ternakan yang tinggi di Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, salah satu punca kenaikan harga ternakan seperti lembu dan kambing di Sarawak adalah ekoran kebergantungan kepada import makanan haiwan ternakan berkenaan.
“Apabila kita pecahkan kernel ini (isirung kelapa sawit) untuk menghasilkan biojisim, maka kita boleh menghasilkan makanan haiwan untuk kambing dan lembu.
“Nampaknya, daripada makanan haiwan yang tidak diimport kita masih dapat membesarkan haiwan ternakan kita, jadi tidaklah lembu dan kambing kurus-kurus di samping menurunkan harga ternakan kerana semasa Hari Raya Korban tempoh hari, haiwan korban mencecah RM12,000 seekor,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2025 Peringkat Sarawak, yang berlangsung di Pusat Penyelidikan Hutan, hari ini.

Mengulas lanjut, Premier Sarawak mendedahkan bahawa kerajaan Sarawak telah membelanjakan RM30 juta kepada Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) untuk tujuan berkenaan di Lubok Antu.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan selain daripada makanan haiwan, pemecahan isirung kelapa sawit itu juga menambah nilai kepada industri, malah turut menyumbang kepada peningkatan pendapatan berasaskan tanaman tersebut.
Jelasnya, kemajuan teknologi kelapa sawit turut berupaya menghasilkan bahan api bio untuk kegunaan kapal terbang sejajar dengan dasar pembangunan Sarawak yang berteraskan ekonomi kitaran, iaitu pendekatan yang menggalakkan penggunaan semula bahan bagi mengurangkan pembuangan sisa secara berlebihan yang boleh memberi kesan negatif terhadap alam sekitar.
-UKAS