Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Derma darah cerminan kekuatan, kepedulian masyarakat
  • KESIHATAN

Derma darah cerminan kekuatan, kepedulian masyarakat

Utusan Sarawak 9 hours ago
KENANGAN… Clarence Ting, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam dan tetamu kenamaan yang lain bergambar bersama penderma darah tegar serta petugas barisan hadapan.

SIBU: Setiap titisan darah yang didermakan bukan sekadar angka, sebaliknya melambangkan kasih sayang, belas kasihan, dan kekuatan sesebuah masyarakat.

Demikian ditegaskan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, sempena sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2025 peringkat Bahagian Sibu yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (SMC), Clarence Ting Ing Horh.

DERMA DARAH...Salah seorang penderma darah melakukan derma darah.

Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada semua penderma darah, sukarelawan, serta barisan perubatan yang telah menyumbang tenaga dan masa dalam usaha menyelamatkan nyawa.

Menurut Dr Sim, yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, sumbangan darah memainkan peranan penting dalam merawat pelbagai kategori pesakit, khususnya ibu yang mengalami komplikasi semasa bersalin, kanak-kanak yang menghidap penyakit serius, serta mangsa kemalangan yang berada dalam keadaan kritikal.

“Hari ini, kita memberi penghormatan kepada mereka yang memilih untuk memberi sebahagian daripada diri mereka bagi menyelamatkan orang lain. Kemurahan hati anda telah membawa harapan dan penyembuhan kepada ramai keluarga,” katanya.

TAHNIAH…Penasihat MRCS Sibu, Temenggong Datuk Vincent Lau Lee Ming menyampaikan trofi johan bagi Kategori C-Syarikat Swasta kepada wakil Syarikat Sri Minyak Tenaga Sdn Bhd sambil disaksikan yang lain.  
 

Dr Sim turut mengimbau kembali bagaimana pada awal usaha kempen pendermaan darah dijalankan di Sibu, masih ramai yang takut dan keliru mengenai proses ini, khususnya dalam kalangan komuniti Cina.

Menurutnya, ketika itu, masyarakat Cina lebih cenderung untuk menjadi penerima berbanding penderma.

Namun, hasil usaha berterusan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (MRCS) Cawangan Sibu melalui program pendidikan, kempen kesedaran, serta teladan yang ditunjukkan oleh para sukarelawan, persepsi tersebut kini semakin berubah.

“Hari ini, saya bangga mengatakan bahawa komuniti Cina telah menjadi kumpulan majoriti penderma darah di Sibu. Ini membuktikan bahawa pendidikan dan semangat kemasyarakatan mampu mengubah sikap dan menyelamatkan nyawa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Sim menekankan bahawa selain menderma darah, pengetahuan dalam melaksanakan bantuan kecemasan seperti Bantuan Pernafasan dan Peredaran Darah (CPR) (CPR) dan penggunaan alat defibrilator luaran automatik (AED) juga amat penting.

Menurutnya, kemahiran tersebut boleh menjadi penentu antara hidup dan mati sebelum bantuan profesional tiba.

“Saya menggesa semua pihak untuk melengkapkan diri dengan ilmu ini. Anda mungkin menjadi penyelamat nyawa suatu hari nanti.”

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada MRCS Sibu atas komitmen tinggi dalam membentuk budaya menderma darah serta sumbangan aktif mereka dalam pelbagai inisiatif kemasyarakatan lain.

Turut hadir Pengerusi MRCS Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew, Penasihat MRCS Sibu, Temenggong Datuk Vincent Lau Lee Ming, Pengerusi MRCS Cawangan Sibu, Penghulu Chua Hiong Kee dan pengerusi penganjur, Dr Rachel Teng Li Cin.

Oleh Raihan Omera Kausar

Tags: Kesihatan

Continue Reading

Previous: MPKS perangi dadah demi masa depan belia Sadong Jaya
Next: Kes denggi menurun 58.6 peratus – Dzulkefly

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.