Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Sistem pemetaan hutan 3D lonjak potensi pasaran karbon Sarawak – Abang Johari
  • SEMASA

Sistem pemetaan hutan 3D lonjak potensi pasaran karbon Sarawak – Abang Johari

Utusan Sarawak 15 hours ago
PREMIER Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan simbolik penanaman benih pokok belian sempena Majlis Perasmian Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Sarawak 2025 di Kuching hari ini. Foto: Adele Rissa

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjelaskan bahawa Sarawak kini mengorak langkah lebih berani dalam memanfaatkan teknologi untuk pengurusan hutan secara saintifik, khususnya melalui penggunaan teknologi sistem pemetaan hutan tiga dimensi (3D).

Beliau berkata, teknologi sistem pemetaan hutan 3D digunakan untuk mengumpul data keupayaan penyerapan karbon oleh pokok hutan serta data ini menjadi asas kepada penentuan harga karbon di pasaran terbuka dan pelaksanaan mekanisme cukai karbon yang lebih telus dan saintifik.

“Setiap jenis pokok mempunyai ciri berbeza dalam menyerap karbon. Apabila kita mempunyai data 3D ini, kita boleh menilai nilai sebenar karbon yang diserap dan meletakkan harga karbon secara tepat. Ini akan mengukuhkan dasar Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kita di peringkat negeri,” katanya.

Beliau menambah bahawa data saintifik ini juga akan membantu Sarawak menjadi peneraju dalam pasaran karbon tropika, seterusnya menyumbang kepada agenda global perubahan iklim.

Abang Johari turut menyatakan komitmen berterusan kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan Sarawak selari dengan perlindungan alam sekitar, termasuk penggunaan teknologi canggih bagi memelihara kawasan hutan tropika yang menjadi khazanah dunia.

Beliau berkata, langkah ini bukan sahaja penting untuk menjamin kelestarian alam sekitar tetapi juga berupaya menjana pertumbuhan ekonomi baharu melalui sektor tenaga bersih, pemuliharaan biodiversiti dan penggunaan sumber secara mampan.

Sambutan tahun ini bertemakan ‘Hutan dan Makanan’ turut memberi penekanan kepada kepentingan sumber hutan dalam menjamin keselamatan makanan dan kesejahteraan manusia.

“Saya ucapkan tahniah kepada seluruh warga Jabatan Hutan atas usaha menyambut Hari Hutan Antarabangsa 2025. Saya juga telah melawat galeri yang menampilkan pelbagai inisiatif dan maklumat berkaitan hutan dan kelestarian alam sekitar.

“Ini penting untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang peranan besar hutan dalam membentuk masa depan negeri kita,” ujarnya semasa Majlis Perasmian Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Sarawak 2025, hari ini.

PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melawat pameran yang ada di galeri Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, Jabatan Hutan Sarawak. Foto: Adele Rissa

Sementara itu, Abang Johari turut mengumumkan pelaksanaan projek ekonomi kitaran melibatkan sisa kelapa sawit di Lubok Antu, yang dijalankan bersama Syarikat Sakra dengan peruntukan sebanyak RM30 juta daripada kerajaan negeri.

Menurut beliau, biofuel yang dihasilkan juga boleh ditukar menjadi Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF), iaitu bahan api lestari yang digunakan oleh sektor penerbangan.

Beliau turut menegaskan bahawa hutan tropika Sarawak, termasuk kawasan hutan hujan Borneo, merupakan antara ekosistem paling penting yang masih terpelihara di dunia.

Oleh itu, usaha konservasi perlu diteruskan dengan pendekatan seimbang antara pembangunan ekonomi dan perlindungan alam.

Sarawak katanya telah mengambil langkah proaktif menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang mengangkat kesejahteraan alam sekitar sebagai salah satu daripada tiga tonggak utama pembangunan negeri.

Abang Johari turut menyatakan keyakinan bahawa usaha-usaha kerajaan negeri, termasuk pelaksanaan Pelan Induk Kelestarian yang merangkumi sektor perbandaran, pertanian dan sosial, akan terus memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai negeri contoh dalam pembangunan mampan.

Oleh Adele Rissa

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: KKM bincang dengan JPA bagi pengisian perjawatan tetap baharu pegawai perubatan
Next: Terengganu negeri pertama laksana program Tuisyen MADANI – PM Anwar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.