
PELANGGAN, Asiah Saripan, 62 menunjukkan aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) yang digunanya untuk membeli minyak masak bersubsidi pada Program Jualan Rahmah Madani di Dewan Muafakat Kampung Bakar Batu hari ini. eCOSS ialah sistem atau aplikasi yang boleh dimuat turun di telefon dan kini dalam peringkat rintis, digunakan untuk merekod secara digital semua transaksi minyak masak bersubsidi. Johor dipilih sebagai negeri pertama yang meluaskan penggunaan sistem eCOSS dalam usaha mengekang ketirisan seperti yang diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali pada 27 Jun lepas. Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Penggunaan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) yang kini berada pada peringkat rintis menerima maklum balas positif pengguna yang menyifatkan inisiatif berkenaan mampu mengelakkan berlakunya ketirisan minyak masak peket bersubsidi.
Tinjauan Bernama mendapati percubaan pertama pelaksanaan eCOSS di Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di Dewan Muafakat Kampung Bakar Batu di sini hari ini diterima baik pengunjung yang rata-rata menyatakan aplikasi itu mudah digunakan dan mesra pengguna.
Selain itu, terdapat beberapa petugas yang membantu memberikan penerangan kepada golongan warga emas cara untuk menggunakan aplikasi itu yang perlu dimuat turun di telefon.
Asiah Saripan, 62, berkata kehadiran petugas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah membantunya memahami cara menggunakan sistem itu.
“Saya tidak berapa pandai guna telefon, tetapi bagus sebab orang KPDN beri penerangan. Ini adalah perkara baharu dan mungkin ambil masa untuk digunakan oleh warga emas seperti saya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di PJRM itu.


ORANG ramai mula menggunakan aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) pada Program Jualan Rahmah Madani di Dewan Muafakat Kampung Bakar Batu hari ini. eCOSS ialah sistem atau aplikasi yang boleh dimuat turun di telefon dan kini dalam peringkat rintis, digunakan untuk merekod secara digital semua transaksi minyak masak bersubsidi. Johor dipilih sebagai negeri pertama yang meluaskan penggunaan sistem eCOSS dalam usaha mengekang ketirisan seperti yang diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali pada 27 Jun lepas. Foto BERNAMA
Sementara itu, Vivie Kassim Zuini, 42, berkata aplikasi eCOSS hanya memerlukan pengguna mengimbas kod respons pantas (QR) pembelian di aplikasi itu, seterusnya dapat mengelakkan penyelewengan atau pembelian berlebihan.
“Bagi saya inisiatif ini sangat baik kerana sebelum ini susah hendak dapat minyak masak bersubsidi terutama di kedai runcit. Sistem ini saya lihat lebih teratur dan kita tahu ia sampai kepada orang yang betul-betul perlu,” kata suri rumah itu.
J.Anitha, 38, berkata eCOSS dilihat dapat membantu kerajaan mengawal pengagihan minyak masak bersubsidi dengan lebih efisien dan telus.
“Kita takut ramai orang salah guna, sepatutnya untuk isi rumah tetapi ada juga warga asing pakai, jadi aplikasi ini dapat memastikan orang yang benar-benar layak dapat,” katanya yang menjalankan perniagaan menjual bunga.
Tinjauan mendapati KPDN turut menyediakan reruai penerangan yang memudahkan orang ramai khususnya warga emas membeli minyak masak bersubsidi dengan menggunakan daftar pembelian secara manual selain daripada sistem itu, sekiranya mereka tidak membawa telefon atau kad pengenalan, tidak mempunyai e-mail atau lupa kata laluan serta telefon tidak menyokong aplikasi eCOSS.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali pada 27 Jun dilaporkan berkata Johor dijangka menjadi negeri pertama meluaskan penggunaan eCOSS sehingga ke peringkat pengguna akhir, bagi membolehkan setiap transaksi minyak masak peket bersubsidi direkod secara digital dalam usaha mengekang ketirisan.
Beliau berkata eCOSS mengesan identiti pengguna menerusi proses e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital) menggunakan MyKad, bagi memastikan hanya warganegara layak menerima minyak masak bersubsidi.
Selain Dewan Muafakat Kampung Bakar Batu, percubaan sistem eCOSS di Johor akan turut dilaksanakan di PJRM, Dewan Komuniti Kampung Dato’ Sulaiman Menteri, di sini esok.–Bernama